Hari Natal disambut meriah

SHAH ALAM, 25 Dis – Perayaan Krismas disambut meriah oleh pelbagai kaum dinegara ini hari ini. Dan di Shah Alam, cuaca cerah pagi tadi digunakan sepenuhnya orang ramai untuk kunjung mengunjung dalam semangat muhibah.

Sambutan Krismas pagi tadi dianjurkan Dewan Undangan Negeri (Dun) Batu Tiga di Taman Tugu Keris, Shah Alam.

Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains Teknologi dan Inovasi, Dr Rodziah Ismail meluangkan masa beramah mesra dengan tetamu khas serta orang ramai yang berkunjung.

Antara yang hadir Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, Ahli Majlis MBSA, Adzhar Maludin, Ahli Majlis MPK, Norain Eusof.

Khalid Samad dalam ucapannya berkata pertembungan tiga perayaan dalam masa terdekat iaitu Maal Hijrah, Deepavali dan Hari Natal memberi inspirasi kepada pakatan Rakyat untuk menganjurkan Program Deepavali dan Krismas dengan matlamat merapatkan hubungan sesama kaum di negeri ini.

“Kerajaan Pakatan Rakyat bukan berniat samakan semua agama ini,tetapi apa yang kita mahukan ialah untuk menjalinkan satu suasana dimana kita saling hormat menghormati dan kita saling memperakui hak masing-masing,” ujar beliau.

Menurut Khalid, kerajaan negeri menganjurkan program sebegini hanyalah bertujuan mengekalkan semangat muhibah dan bukanya bermotif politik seperti mana persepsi yang dilemparkan pihak tidak bertanggungjawab dalam usaha menanam rasa benci rakyat terhadap Pakatan Rakyat.

“Kadang kala apabila mereka kering isu,cari isu untuk laga-lagakan rakyat, maka mereka mengenakan tuduhan seolah-olah Kerajaan Pakatan Rakyat membawa ajaran pluralisme”, katanya lagi.

Khalid berkata, Pakatan Rakyat akan sentiasa menganjurkan program berbentuk kemasyarakatan dalam usaha membina masyarakat yang sejahtera dan harmoni.

Majlis sambutan Deepavali dan Krismas ini turut diserikan dengan tarian india dan cabutan bertuah dimana lebih 100 barangan disediakan untuk masyarakat yang hadir pada majlis ini.

Dr Rodziah yang juga Adun Batu Tiga dalam ucapannya berkata, selain meraikan perayaan masyarakat pelbagai kaum program ini juga bertujuan mewujudkan interaksi antara pimpinan peringkat negeri dengan pimpinan akar umbi dan masyarakat setempat bagi berkongsi dan mencari kata sepakat dalam permasalahan yang berlaku.

Jelas Dr Rodziah, pemilihan Taman Tugu Keris dijadikan lokasi program adalah satu usaha menghidupkan kembali peranannya sebagai taman rekreasi.

“Tempat-tempat rekreasi sebegini harus dihidupkan, kadang-kala kawasan rumah tidak cukup untuk kita beriadah bersama keluarga, dengan adanya Taman Tugu Keris yang sudah pun diperbaiki.

“Kita mengharapkan penduduk sekitar boleh manfaatkan Taman Keris ini bukan sahaja untuk rekreasi tetap juga senam sihat”

Dr Rodziah turut mengesa penduduk setempat untuk menjadi mata telinga dalam membantu beliau menjaga kebajikan penduduk supaya segala kesulitan dalam menyalurkan bantuan dan kebajikan rakyat terbela.

Dalam pada itu, program hari ini juga turut memuatkan program sumbangan Kembali ke Sekolah untuk masyarakat setempat sejajar dengan hasrat kerajaan negeri untuk membiayai sejuta buku latihan kepada pelajar kurang berkemampuan di sekitar Negeri Selangor.

Kerajaan negeri memperuntukkan RM650,000 bagi program kembali ke sekolah dan mensasarkan 1000 penerima bantuan bagi setiap kawasan.

No comments

Powered by Blogger.