Nurul Izzah tidak gentar pikul beban rakyat

SHAH ALAM, 25 Dis – Pada umur 30 tahun, Nurul Izzah Anwar menyandang jawatan Naib Presiden PKR dan turut menggalas tugas sebagai Ahli Parlimen Lembah Pantai sejak dua tahun lalu.

Temuramah beliau dengan wartawan antarabangsa The New York Times, Liz Gooch di pejabat pembangkang di Parlimen Malaysia awal bulan lalu memberi gambaran bahawa beliau tidak gentar memikul beban memperjuang keadilan rakyat daripada rasuah dan penyalahgunaan kuasa kerajaan sedia ada.

Justeru beliau menyifatkan dirinya sebagai jejantas penghubung perjuangan rakyat yang menuntut kehidupan lebih sempurna di negara ini.

“Saya tidak rasa selepas melalui 1998, adalah mustahil untuk kembali semula kepada kehidupan bukan politik,” ujar beliau.

Ditanya sekiranya beliau dibayangi imej Ketua Pembangkang Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga bapanya sendiri, jelas Izzah mempunyai misi tersendiri membawa suara rakyat ke tengah.

“Tentunya saya sayang bapa saya, tapi pada akhirnya saya adalah penggubal hak diri saya. Saya perlu berjuang dalam perang sendiri, komuniti dan komponen untuk berkhidmat. Saya bertanggungjawab ke atas suara mereka,” tambah beliau lagi.

Di samping itu beliau berkata, persaingan merebut jawatan Naib Presiden PKR bulan lalu menampakkan keberhasilan amat positif selain gembira dipilih anggota berbanding perlantikan langsung.

“Saya bangga atas sebab kita perlu berlawan untuk menang,” jelas beliau.

Izzah kini dalam usaha mendekati pengundi muda menarik minat menyertai perjuangan Pakatan Rakyat menjelang pilihanraya yang bakal diumumkan tidak lama lagi.

No comments

Powered by Blogger.