MAIS diminta beri kata putus pembukaan semula susur jejambat Masjid Nurul Iman

RAWANG, 25 Dis – Penasihat Permuafakatan Nazir-nazir Masjid Selayang, Mohamad Abdul Rahman menggesa Majlis Jabatan Agama Islam Selangor (MAIS) memberi kata putus berhubung pembukaan semula susur jejambat memasuki rizab Masjid Nurul Iman Rawang (MNIR), Batu 17.

Mohamad Abdul berkata, susulan lawatan turun padang Exco Hal Ehwal Islam, Adat Istiadat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali Februari lalu pihaknya masih menunggu keputusan daripada Mais.

“Exco Selangor, Datuk Dr Hassan Mohamed Ali menetapkan Mais dan MNIR berbincang serta membuat keputusan dengan pemaju bagi pengambilalihan tanah masjid seluas 1.3 meter persegi untuk membina jajambat itu,”ujar beliau.

Bagaimanapun, sehingga kini MNIR masih gagal mendapatkan sebarang keputusan Mais berikutan pihak masjid tidak mahu dikatakan cuba melengah-lengahkan kelancaran pembangunan.

Sebelum ini, susur jejambat tersebut yang siap sepenuhnya setahun lalu dibina pihak pemaju sepanjang kira-kira 100 meter itu bersebelahan dengan masjid dan merupakan susur memasuki tanah masjid dari arah Bandar baru Rawang ke arah Selayang didakwa menggangu lalu lintas kariah ke masjid.

Berikutan bantahan kariah masjid, pihak pemaju menutup susur tersebut dengan penghadang batu konkrit dan tidak akan dibuka selagi tidak mendapat persetujuan bersama.

Mohamad Abdul berkata, pihak masjid dimaklumkan pengawasan susur ini adalah dibawah pentadbiran Jabatan Kerja Raya atau JKR, bagaimanapun mencadangkan Mais bersama pihak masjid, Pejabat Tanah dan Daerah Gombak, JKR, Pejabat Tadbir Agama Islam dapat duduk berbincang serta menyelesaikan isu dengan kadar segera.

Tambah Mohammad Abdul, pihaknya turut menuntut pihak pemaju melunaskan jumlah pampasan yang ditetapkan MNIR.

Mohamad Abdul berkata demikian ketika ditemui Selangorkini selepas demonstrasi aman membantah provokasi murahan pihak tertentu berhubung isu perobohan surau Al-Hidayah, Kampung Melayu, Pekan Rawang baru-baru ini sehingga mewujudkan ketegangan beberapa pihak dengan kerajaan negeri.

Hadir sama, Pengarah Penerangan Selangor, Dr Badrul Amin Baharom, Nazir MNIR, Ilham Akhbar Harun dan Ahli Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Md Sabri Md Taib.

No comments

Powered by Blogger.