Isu APCO: Karpal dakwa Speaker Dewan Rakyat mahu Anwar dihukum

Oleh Clara Chooi


KUALA LUMPUR, 8 Dis – Pengerusi DAP Karpal Singh mendakwa Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia mempunyai agendai peribadi untuk memastikan hukuman tergesa-gesa menggantung dari Parlimen, yang disebut-sebut, dikenakan ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Wakil rakyat Bukit Gelugor ini (gambar) memberitahu pemberita bahawa Speaker tidak sepatutnya mempengerusikan sesi huru-hara pagi tadi ekoran keputusan Pandikar menolak usul Pakatan Rakyat agar membahaskan isu tersebut memandangkan wujud elemen “konflik kepentingan”.

Pandikar, menurut Karpal, seharunsya telah mengecualikan diri beliau daripada mempengerusikan sidang Dewan Rakyat memandangkan beliau adalah Pengerusi Jawatankuasa Hak dan Kebebasan, yang minggu lalu memutuskan untuk tidak membenarkan Anwar daripada memberikan keterangan berhubung isu APCO-Israel.

“Apa yang mengejutkan saya hari ini Speaker, yang juga pengerusi jawatankuasa (Hak dan Kebebasan), memutuskan untuk menolak usul yang dibawa di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) oleh Ahli Parlimen Gombak (Azmin Ali).

“Yang ini sudah pasti satu konflik kepentingan, tidak keraguan mengenai perkara ini,” kata beliau.

Kata Karpal, hanya Timbalan Speaker Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang seharusnya mengetuai prosiding pagi ini yang berubah menjadi kelam-kabut memandangkan beliau bukan anggota jawatankuasa itu.

Malah kata beliau, tidak wajar juga bagi seorang lagi Timbalan Speaker Datuk Ronald Kiandee mempengerusikan sidang Dewan Rakyat ketika sesi itu.

“Jawatankuasa Hak dan Kebebasan dengan jelas memperkudakan hak Anwar,” kata Karpal.

Ahli-ahli Pakatan Rakyat bertindak keluar Dewan Rakyat ekoran pertikaian lisan apabila wakil rakyat-wakil rakyat pembangkang membantah keputusan Pandikar menolak usul dibawa Azmin.

Usul yang dibentangkan oleh Azmin kelmarin ditolak oleh Pandikar di kamarnya pagi ini dengan alasan bahawa maklumat yang dibawa ke mesyuarat jawatankuasa tidak seharusnya didedahkan sebelum laporan dibentangkan di Dewan Rakyat untuk perbahasan.

Azmin mendakwa Speaker yang sepatutnya bertindak berkecuali selaku pengerusi Dewan Rakyat telah dibeli oleh Umno dan BN.

Beliau mempersoalkan mengapa jawatankuasa memutuskan untuk tidak mendengar keterangan Anwar dan mendakwa tindakan itu bertentangan dengan prinsip keadilan.

“Ini pencabulan keadilan kerana Ketua Pembangkang dinafikan hak untuk mempertahankan dirinya. Alasan anda untuk menolak usul ialah butiran siasatan oleh jawatankuasa tidak boleh dikeluarkan oleh mana-mana anggota sebelum syor-syornya dibawa ke Dewan.

“Hujah saya ialah prosiding belum pun bermula dan Ahli Parlimen Permatang Pauh (Anwar) tidak dibenarkan tampil ke depan (untuk memberi keterangan),” katanya.

Pandikar menegaskan bahawa Peraturan Mesyuarat yang digunakan oleh Azmin untuk membawa usul itu tidak sesuai dan menambah bahawa jawatankuasa itu belum membentangkan laporannya kepada Dewan untuk perbahasan.

Azmin mencelah dengan berhujah bahawa tujuan usul itu bukannya mempersoalkan syor jawatankuasa tersebut tetapi mengapa gagal mematuhi prosedur yang sepatutnya membenarkan Anwar membela diri.

Malah Timbalan Presiden PKR itu juga merujuk kepada kenyataan Pandikar pada 22 April lalu bahawa beliau memberi jaminan Anwar akan dibenar memberi penjelasan kepada jawatankuasa itu.

Apabila Pandikar bertegas dengan keputusannya menolak usul Azmin barisan wakil rakyat bangun untuk melahirkan rasa tidak puas hati mereka.

Justeru, Pandikar memberi amaran bahawa mereka yang berdiri akan dianggap sebagai mengganggu Dewan Rakyat.

Katanya, berdasarkan laporan media mengenai isu itu, Karpal dan R. Sivarasa (PKR-Subang), kedua-duanya anggota jawatankuasa itu, dipetik sebagai berkata mereka tidak mengundi berhubung jawatankuasa tersebut.

“Mereka mengatakan bahawa mereka bertindak keluar daripada mesyuarat jawatankuasa. Mereka sendiri tidak mengundi,” katanya.

Kata Pandikar, Peraturan Mesyuarat 83(11) membolehkan jawatankuasa menolak keterangan mana-mana personaliti.

“Dalam mana-mana kes, keputusan bukan dibuat oleh saya seorang sebagai pengerusi jawatankuasa tetapi oleh keseluruhan jawatankuasa, dengan persetujuan majoriti,” katanya lagi.

Ketika ini Karpal menggesa Spekaer daripada membuat sebarang keputusan di Dewan dan menyerahkan kepada timbalannya.

“Terima kasih, YB. Tetapi saya tidak fikir ini konflik kepentingan. Saya tidak memihak mana-mana pihak di sini,” katanya.

Chua Tian Chang (PKR-Batu) juga bangun dengan membawa usul tergempar mengikut Peraturan Mesyuarat 18(3b) yang memerlukan 15 Ahli Parlimen bangun dan menyatakan sokongan bagi mengatasi keputusan Speaker.

“YB, Peraturan Mesyuarat 18(3B) tidak relevan,” kata Pandikar.

Keadaan yang tegang itu menyebabkan Pandikar mengarahkan beberapa wakil rakyat yang ingkar agar meninggalkan Dewan dan kembali selepas 2.30 petang.

“Sila keluar, Padang Serai (PKR-N. Gobalakrishnan), Balik Pulau (PKR-Yusmadi Yusoff) dan Indera Mahkota (PKR-Azan ismail). Siapa lagi yang berdiri? Anda boleh keluar,” katanya lagi.

Ekoran keputusan itu, wakil rakyat-wakil rakyat Pakatan Rakyat meninggalkan Dewan Rakyat dalam keadaan protes.

Pada 22 April lepas, ekoran usul yang dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz, Dewan Rakyat memutuskan melalui undian suara untuk merujuk Anwar berhubung dakwaan

beliau kononnya konsep 1 Malaysia diilhamkan oleh APCO Worldwide.

APCO Worldwide yang menafikan dakwaan itu dilaporkan berkata kerajaan Malaysia menggunakan khidmat mereka selepas konsep 1 Malaysia diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan dakwaan penglibatan firma itu dalam kempen One Israel adalah palsu.

Jawatankuasa yang dipengerusikan Pandikar itu dianggotai Kiandee selain Datuk Seri Fong Chan Onn (BN-Alor Gajah), Datuk Razali Ibrahim (BN-Muar), Nancy Shukri (BN-Batang Sadong), Sivarasa dan Karpal.

No comments

Powered by Blogger.