Isu patriotisme: Zahid Hamidi buat penjelasan tapi enggan minta maaf

Oleh Clara Chooi

KUALA LUMPUR, 8 Dis — Selepas kira-kira sebulan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pagi ini membuat penjelasan di Dewan Rakyat mengenai kenyataan kontroversi isu patriotisme bukan Melayu dan penyertaan mereka dalam Angkatan Tentera Malaysia, tetapi enggan memohon maaf.

Menteri Pertahanan memberitahu bahawa beliau tiada niat sama sekali untuk menyinggung perasaan kaum bukan Melayu apabila memaklumkan kurangnya sambutan bukan Melayu untuk menyertai perkhidmatan ketenteraan adalah disebabkan rendahnya semangat patriotisme.

“Saya rasa malang jika jawapan saya di Dewan ini pada November lalu telah menyinggung perasaan mana-mana kaum,” kata beliau ketika bangun membuat penjelasan selepas sesi soalan lisan hari ini.

Zahid, yang juga Naib Presiden Umno berkata, beliau sedar sejarah telah membuktikan bahawa masyarakat bukan Melayu termasuk Cina, India, Kadazan dan kumpulan-kumpulan lain telah menyertai perjuangan menentang pemberontakan komunis pada 1960-an.

“Saya tidak bermaksud untuk menyinggung perasaan masyarakat bukan Melayu,” katanya lagi.

Bagaimanapun apabila Ahli Parlimen DAP dari Ipoh Barat M. Kulasegaran menggesa agar meminta maaf, Zahid tidak menghiraukan gesaan itu.

Sebaliknya, Zahid menggesa pemimpin semua parti termasuk ketua-ketua komuniti dan badan bukan kerajaan agar bekerjasama dan memperbaiki penyertaan bukan Bumiputera dalam perkhidmatan angkatan tentera.

“Mari kita berdiri bersama memegang prinsip 1 Malaysia, yang diusahakan oleh perdana menteri,” katanya.

Usaha Kulasegaran untuk meneruskan perkara itu ditolak oleh Timbalan Speaker Datuk Ronald Kiandee yang memberitahu wakil rakyat itu bahawa beliau boleh membangkitkan isu tersebut ketika perbahasan peringkat jawatankuasa Kementerian Pertahanan minggu depan.

Usul ke atas Zahid dibawa oleh Kulasegaran bulan lalu.

Malah ketika itu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Zahid perlu memberi penjelasan sebenarnya berhubung kenyataannya di Dewan Rakyat, yang dilihat oleh sesetengah pihak seolah-olah menggambarkan “bukan Melayu tidak ramai menyertai tentera kerana kurang semangat patriotik”.

Kata Muhyiddin, penjelasan itu penting bagi membetulkan keadaan.

“Saya tidak membaca atau tidak berada di Parlimen (waktu itu) tetapi daripada kenyataan yang terkeluar dan reaksi daripada beberapa pihak, mungkin Datuk Zahid perlu membuat penjelasan yang sebenarnya dan apa pendirian perkara itu.

“Bagi kita, kita tidak melihat keadaan sebegitu, kalaupun tidak ada penyertaan, saya fikir kita tidak seharusnya mempertikai kesetiaan mana-mana pihak yang menjadi rakyat (negara ini) sama ada Melayu, India, Cina... mungkin ada sebab-sebab yang lain,” katanya.

Para pemimpin politik termasuk beberapa Ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang menggangap kenyataan Zahid itu rasis, tidak berasas dan menyinggung perasaan bukan Melayu.

“Kalaulah dianggap terlanjur... itupun saya tidak pasti. Tiada masalah meminta maaf... biasalah manusia (buat silap) saya pun biasa minta maaf kepada orang bila tersilap,” kata Muhyiddin.

Sebelum ini, Zahid berkata jawapannya di Dewan Rakyat mengenai faktor-faktor rendahnya penyertaan bukan Melayu dalam angkatan tentera dibuat berdasarkan dapatan kaji selidik ilmiah.

Beliau turut menolak dakwaan sesetengah pihak yang menyifatkan beliau tidak sensitif dan mempertikai kesetiaan dan integiriti kaum bukan Melayu kerana beliau tidak pernah menyatakan begitu mahupun berniat atau bermaksud berbuat demikian.

No comments

Powered by Blogger.