Khir Toyo maklum Speaker, Najib lepaskan jawatan ketua pembangkang

Oleh Asrul Hadi Abdullah Sani


KUALA LUMPUR, 8 Dis – Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo mengemukakan surat letak jawatan sebagai Ketua Pembangkang Selangor hari ini, demikian disahkan oleh Speaker DUN Teng Chang Khim.

Surat pemakluman difakskan kepada Teng dan juga kepada Pengerusi Umno Selangor Datuk Seri Najib Razak pada pukul 11.20 pagi.

Bagaimanapun Teng memberitahu The Malaysian Insider bahawa bukan beliau yang akan menentukan siapa yang bakal mengambil alih jawatan itu.

“Ia tiada kaitan dengan saya. Secara tradisi, pemilihan ketua pembangkang adalah urusan pihak pembangkang. Mereka hanya perlu memaklumkan kepada saya siapa yang dipilih,” katanya.

Dr Khir menyerahkan kepada Badan Perhubungan Umno negeri untuk melantik Ahli Dewan Undangan Negeri untuk mengisi jawatan itu.

Kelmarin, bekas Menteri Besar Selangor itu menerusi laman blognya mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Ketua Pembangkang Selangor berkuat kuasa serta-merta.

Beliau yang juga Adun Sungai Panjang dan anggota jawatankuasa Badan Perhubungan Umno Negeri, turut berkata beliau menyerahkan kepada pucuk pimpinan berhubung jawatannya dalam parti.

Kelmarin, beliau didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam berhubung pemilikan dua lot tanah dan sebuah banglo di No 8 dan No 10, Jalan Suasa 7 /1L, Seksyen 7, Shah Alam bernilai RM6.5 juta yang dibeli dengan harga hanya RM3.5 juta.

Selain beliau, pengarah syarikat Ditamas Sdn Bhd, Datuk Shamsuddin Haryoni, 52, yang menjual hartanah tersebut turut didakwa atas tuduhan bersubahat melakukan kesalahan itu dengan Dr Mohamad Khir pada 29 Mei 2007.

Kedua-duanya mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Azhaniz Teh Azman Teh.

Dr Khir yang menjadi Menteri Besar Selangor ke-13 menggantikan Tan Sri Abu Hassan Omar, dari Ogos 2000 hingga Februri 2008, berkata beliau memutuskan meletak jawatan demi kebaikan parti dan juga taraf jawatan tersebut.

Katanya, adalah lebih baik beliau melepaskan jawatan tersebut sementara menunggu proses mahkamah yang akan menentukan sama ada beliau bersalah ataupun tidak mengikut pertuduhan itu.

Beliau berkata keputusan itu diambil kerana khuatir kemungkinan akan wujudnya pelbagai andaian serta spekulasi daripada pihak luar khususnya pembangkang yang akan mengaitkan tuduhan itu dengan parti dan jawatan Ketua Pembangkang Selangor.

No comments

Powered by Blogger.