Khabar angin Nik Aziz sakit tenat fitnah

KUALA LUMPUR, 8 Dis — Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan, Wan Nik Wan Yussof menafikan khabar angin bahawa Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sakit tenat.

Menurut beliau dakwaan itu bukan sahaja tidak benar, sebaliknya berunsur fitnah.

Wan Nik berkata, Nik Aziz hanya kepenatan selepas menghadiri majlis besar dua hari berturut-turut, ditambah pula beliau belum berehat sejak pulang dari Mekah menunaikan haji baru-baru ini.

“Kerana itu beliau kepenatan. Dakwaan mengatakan beliau ke hospital malam tadi kerana sakit tenat dan dikejarkan dengan ambulans hanya palsu semata-mata,” kata beliau dipetik Harakah Daily.

Malah menurut Wan Nik, Nik Aziz menunaikan solat di Masjid Pulau Melaka sebagaimana biasa pagi tadi.

Wan Nik menjelaskan, beliau dimaklumkan oleh Setiausaha Sulit Khas Menteri Besar bahawa Nik Aziz menyatakan hasrat untuk ke pejabat hari ini sebagaimana biasa dan mempunyai dua majlis untuk dihadiri.

“Bagaimanapun, beliau dinasihatkan supaya berehat di rumah sahaja,” ujarnya.

Sehubungan itu, Wan Nik menasihatkan orang ramai supaya bertenang dan jangan menelan bulat-bulat khabar angin tersebut.

Dalam pada itu Bernama melaporkan, Nik Aziz hanya mengalami sakit di bahagian pinggang, kata anak keduanya, Nik Omar.

“Ayahanda saya sihat, Alhamdulillah ... kesan balik Mekah menunaikan haji ayahanda mengadu sakit di bahagian pinggang sahaja.

“Alhamdulillah (beliau) boleh ke masjid dan sembahyang berjemaah (tetapi) dalam keadaan duduk,” katanya kepada pemberita di rumah Menteri Besar itu di Pulau Melaka di sini hari ini.

Nik Aziz bagaimanapun tidak menemui pemberita kerana sedang diurut.

Pada pukul 12 tengah hari, beliau dibawa ke Hospital Pakar Perdana di sini untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Mursyidul Am PAS itu sempat menunjukkan isyarat bagus kepada jurugambar ketika berada dalam kenderaan yang membawanya itu.

Beberapa blog sejak semalam melaporkan bahawa Nik Aziz tenat dan dimasukkan ke sebuah hospital di sini untuk rawatan.

Ia kerana beliau tidak hadir pada beberapa upacara rasmi, terbarunya malam tadi bagi merasmikan pengisytiharan Majlis Daerah Ketereh sebagai Majlis Perbandaran Islam.

Nik Omar berkata masalah kesihatan ayahnya sebenarnya juga tidak mengganggu urusan kerajaan negeri.

“Kalau bercuti pun ayahanda tetap ke pejabat untuk menyelesaikan beberapa tugasnya,” katanya.

Nik Omar berkata sebagai anak beliau lebih mengetahui masalah kesihatan yang berlaku terhadap bapanya itu.

“Tak perlu sampai nak menerima rawatan di hospital sebelum ini. Kalau demam tu lainlah dan ini cuma sakit orang tua. Dan mengenai blog yang mendakwa ayahanda sakit tenat itu sayapun tak baca lagi,” katanya.

Nik Aziz, 79, menjadi Menteri Besar sejak 1990 dan pernah mendapat rawatan di Institut Jantung Negara beberapa tahun lalu.

No comments

Powered by Blogger.