Jatuh maruah negara ekoran sebaran Utusan Malaysia

Oleh Muda Mohd Noor

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamruddin mendakwa beliau amat dukacita dengan laporan akhbar Utusan Malaysia berkenaan pendedahan WikiLeaks baru-baru ini.

"Hebahan besar-besaran oleh Utusan ini secara tidak langsung telah menjatuhkan maruah negara dan mendedahkan kelemahan negara di serata dunia," katanya dalam kenyataan media yang diedarkan di lobi parlimen hari ini.

Menurutnya, sebagai media, Utusan harus bersama memainkan peranan menjaga martabat dan memelihara maruah negara apabila kabel perisikan WikiLeaks turut mengaitkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan kes pembunuhan Altantuya Shaaribuuu.

Laporan itu juga, katanya turut memandang rendah kepada kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN).

"Saya pelik, mengapa tidak ada seorang pun pemimpin Umno-BN yang mengeluarkan kenyataan sama ada mahu mempertahan maruah negara atau menyangkal dakwaan ini sedangkan selama ini mereka bersungguh-sungguh mengakui kononnya merekalah juara rakyat.

‘Maka, saya mencabar pemimpin Umno-BN dan Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali agar bersama saya bersetuju bahawa Utusan sebenarnya tidak patriotik dan juga media yang anti nasional," katanya.

Zuraida yang juga Ketua Wanila PKR berkata, tindakan Utusan ini juga jelas telah mencabuli etika dan melanggar kontrak janji kewartawanan apabila sentiasa menyebar fitnah dan berat sebelah dalam laporannya dan membuktikan bahawa Utusan sebenarnya hanya berfungsi sebagai aparat (apparatus) kepada pemerintahan Umno-BN.

No comments

Powered by Blogger.