Najib masih pilihan pengundi meskipun populariti turun sedikit

Oleh Leslie Lau

Editor Eksekutif


KUALA LUMPUR, 24 Dis — Datuk Seri Najib Razak masih menjadi pilihan pengundi di Semenanjung dengan kadar popularitinya sekitar 69 peratus, merosot sedikit berbanding 72 peratus Mei lalu, demikian menurut kajian Merdeka Center bulan ini.

Kajian terbaru ini menunjukkan Najib, perdana menteri dan pengerusi Barisan Nasional (BN), menjadi pilihan 74 peratus pengundi Melayu, 54 peratus Cina dan 85 peratus India — rata-rata menunjukkan mereka berpuas hati dengan prestasi beliau.

Hasil kajian ini muncul ketika wujud spekulasi bahawa beliau kemungkinan akan mengadakan pilihan raya umum tahun depan.

Najib menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi April 2009.

Menurut Merdeka Center, penurunan populariti itu mungkin disebabkan pelarasan subsidi yang membawa kenaikan harga bahan api dan gula, dengan ada yang menganggap harga barangan itu akan terus meningkat di bawah BN.

Berkuat kuasa 4 Disember lalu, kerajaan pusat mengumumkan pengurangan subsidi sebanyak lima sen bagi setiap liter petrol RON95 dan diesel, lima sen setiap kg bagi Gas Asli Cecair (LPG) dan 20 sen satu kg bagi gula.

Berikutan pengurangan subsidi itu, harga petrol RON95 ialah RM1.90 seliter, diesel RM1.80 seliter, LPG RM1.90 satu kg dan gula RM2.10 satu kg.

Cukai penggunaan minyak turut dicadangkan oleh Pemandu bermula tahun depan dengan mengurangkan RM7 bilion subsidi dan boleh menurunkan defisit belanjawan 5.4 peratus.

Walaupun bimbang mengenai kenaikan harga, namun masih ramai yang berpendapat negara menuju ke arah yang betul di mana 54 peratus pengundi berpendapat negara kini menuj arah yang betul berbanding 52 peratus pada Mei.

Ia disemarakkan lagi dengan tanggapan optimis ekonomi yang bertambah baik, menurut kajian itu.

Dalam satu lagi pandangan, seramai 53 peratus mereka yang ditemui merasakan keadaan ekonomi adalah baik, satu peningkatan dari 47 peratus pada Mei lalu.

Bagaimanapun, kadar optimistik pengundi mengenai tahun mendatang jatuh enam peratus berbanding suasana ketika Mei, dengan hanya 47 peratus menjangkakan ekonomi akan bertambah baik dalam setahun akan datang.

Ada juga pengundi yang berpendapat ekonomi negara yang tidak menentu menjadi faktor untuk diadakan pilihan raya awal.

Walaupun penafian dibuat berulang kali, Najib telah meletakkan BN berada dalam kedudukan menuju ke arah pilihan raya dengan kebanyakan parti komponen termasuk Umno menangguhkan pemilihan parti untuk menumpukan perhatian pada pilihan raya umum ke-13.

Sebelum ini The Malaysian Insider melaporkan bahawa BN juga telah meminta media dikuasainya supaya mengeluarkan laporan-laporan yang kelihatan “mesra” dan propositif dengan mencari kelemahan musuh-musuh politik menjelang pilihan raya ke-13.

Media arus perdana yang dikawal Umno, MCA dan MIC telah memulakan laporan-laporan yang baik selari dengan apa yang diharapkan, yang mana eksekutif media senior berkata ia akan “mempertingkatkan momentumnya”.

Pegawai-pegawai esksekutif memberitahu The Malaysian Insider bahawa mereka menjangkakan pilihan raya umum akan diadakan awal tahun depan dengan Najib yakin akan mendapat majoriti dua pertiga Parlimen.

No comments

Powered by Blogger.