Temu janji Dr Mahathir dengan Shah Rukh Khan pada Hari Krismas

NEW DELHI, 24 Dis – Apabila bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tiba di Mumbai menjelang Hari Krismas, beliau akan menjadi tetamu kehormat bintang pujaan Bollywood, Shah Rukh Khan.

Dr Mahathir dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, kedua-duanya kini melakukan lawatan peribadi ke India, akan tiba di pusat kewangan India hari ini, dan Shah Rukh Khan akan menjadi tuan rumah kepada negarawan ulung itu.

“Apabila beliau dapat tahu saya akan datang ke India, beliau kata saya mesti pergi ke Bombay (Mumbai).

“Beliau lebih merupakan seorang sahabat daripada peminat. Saya kenal dengannya sudah agak lama. Filem terakhir beliau yang saya tontoni ialah My Name is Khan,” kata Dr Mahathir.

Shah Rukh Khan dijangka menganjurkan jamuan teh istimewa untuk meraikan pasangan itu di kediamannya di Mumbai pada Hari Krismas.

Sepanjang lawatan dua hari beliau ke Mumbai, Dr Mahathir dijadual melawat ke Yash Raj Film Studio -- iaitu studio filem terulung India.

Dr Mahathir adalah tokoh kedua bertemu Shah Rukh Khan dalam tempoh kurang dari seminggu, selepas Presiden Rusia Dmitry Medvedev mengadakan perjumpaan dengan aktor berkenaan di Mumbai pada Rabu lepas.

Medvedev melakukan lawatan rasmi ke India minggu lepas.

Konsul Besar Malaysia di Mumbai Wan Zaidi Wan Abdullah juga akan meraikan kunjungan kenamaan itu dalam majlis jamuan malam.

Dr Mahathir akan menamatkan lawatannya ke India dengan mengunjungi Kerala selepas Mumbai.

Pada Khamis, beliau bertemu Perdana Menteri India Manmohan Singh di Delhi. – Bernama

No comments

Powered by Blogger.