Khir Toyo: BN kena belajar kesilapan ‘08, jangan perlekeh janji Pakatan

KUALA LUMPUR, 24 Dis – Datuk Seri Dr Khir Toyo yang dihadapkan di mahkamah dua minggu lalu, hari ini menasihatkan Barisan Nasional (BN) ambil iktibar kesilapan 2008 dan tidak memandang enteng janji Pakatan Rakyat – Program 100 Hari Buku Jingga yang diumum Ahad lalu.

“Saya memberi pandangan ini agar kita tidak mengulangi kesilapan yang dilakukan pada 2008, yang mana saya sendiri tidak mengambil berat manifesto Pakatan ketika itu dan menyebabkan Selangor jatuh ke tangan Pakatan.

“Saya berharap pisang tidak berbuah dua kali,” kata bekas menteri besar Selangor ini (gambar) dalam tulisan terbaru blognya.

Ia dlihat komen terbuka pertama seumama itu selepas beliau dihadapkan di Mahkamah Sesyen Shah Alam pertengahan bulan ini.

Dr. Khir, 45, didakwa telah mendapatkan untuk dirinya dan isteri Datin Seri Zahrah Kechik, 45, suatu barang berharga dengan suatu balasan yang beliau ketahui tidak mencukupi iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah di Jalan Suasa 7/1 L, Shah Alam, daripada Ditamas Sdn Bhd melalui pengarah syarikat itu, Shamsuddin Hayroni, dengan harga RM3.5 juta sedangkan hartanah itu telah dibeli oleh Ditamas pada 23 Disember 2004 dengan harga RM6.5 juta.

Sebahagian kandungan Buku Jingga Pakatan Rakyat ialah Program 100 Hari yang akan dilaksanakan jika memerintah kerajaan persekutuan.

Kata Dr Khir, sungguhpun sebahagian janji tersebut tidak realistik, namun terdapat janji-janji yang boleh mempengaruhi rakyat memberi undi kepada mereka terutamanya kenaikan gaji guru sebanyak RM500.

Dr Khir berkata, terdapat kira-kira 400,000 guru sekarang ini dan tidak mustahil sebahagian besar mereka akan menilai tawaran tersebut dengan serius.

“Ini kerana kebanyakan guru mempunyai pegangan politik yang agak bebas. Tidak ramai yang membuat keputusan menyokong mana-mana parti politik sejak awal lagi,” katanya lagi.

Semalam, Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau kesal dengan kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin apabila menyebut bahawa tindakan memperkenalkan imbuhan khas pendidik sebanyak RM500 seorang setiap bulan akan menyebabkan Malaysia muflis.

Dr Khir menambah, kenaikan kos sara hidup yang kian menjadi-jadi sejak wujudnya makmal rasionalisasi subsidi boleh menjadikan sebahagian besar rakyat menerima sahaja apa yang ditawarkan oleh Pakatan Rakyat biar pun mereka mungkin tidak mampu melaksanakan sepenuhnya.

Pemimpin Umno percaya jentera kerajaan terutamanya menteri “jaga makmal” boleh memberi penjelasan yang logik, rasional dan sangat akademik kepada rakyat bagi menjustifikasikan kenaikan harga barang, petrol dan pengenaan pelbagai cukai termasuk kemungkinan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

“Saya juga percaya kerajaan mempunyai kebolehan untuk menjelaskan mengapa menteri ‘jaga letrik’ mengumumkan kerajaan bersetuju kenaikan tarif letrik tapi masa belum sesuai.

“Tentulah kerajaan juga mampu menjelaskan mengapa Tenaga Nasional Berhad bercakap soal kekurangan untung (bukan rugi) jika tarif tidak dinaikkan seolah-olah TNB ini berniaga menggunakan duit sendiri bukannya duit rakyat,” kata beliau.

Dr Khir mendakwa menurut sebahagian rakyat termasuk guru-guru yang menjadi sasaran kempen Pakatan Rakyat sekarang, “sekurang-kurangnya ada harapan dengan Pakatan Rakyat berbanding BN yang asyik bercakap soal mengurangkan subsidi dan menaikkan tarif, yang sekali gus menambah perbelanjaan dan hutang mereka.”

“Jadi, ketika kita boleh menjelaskan untung rugi, logik dan rasional setiap tindakan, namun yang jarang ditanya apakah keputusan dan penjelasan kerajaan mampu meyakinkan rakyat yang akhirnya akan diterjemahkan ke dalam peti undi dengan memberi undi kepada BN?

“Sungguhpun kita boleh mendakwa banyak janji Pakatan di Selangor belum tertunai, namun saya percaya ia akan mula dilaksanakan menjelang pilihan raya akan datang bagi menggula-gulakan pengundi,” katanya.

Malah Dr Khir juga berkata, tidak mustahil pada tahun hadapan kerajaan negeri Selangor akan mengurangkan cukai pintu premis kediaman sebanyak 20 peratus dan cukai pintu premis perniagaan sebanyak 10 peratus seperti yang dijanjikan dalam manifesto mereka sebelum ini.

“Ini akan memberi ‘pukulan hebat’ kepada BN,” katanya lagi.

Beliau juga berkata, masalah BN lebih besar daripada Pakatan Rakyat.

Oleh itu, katanya, BN sebagai pemerintah tidak boleh berjanji, sebaliknya perlu melaksanakan kerana ia memegang tampuk pemerintahan.

Tegas beliau, majoriti rakyat tidak meminta “bulan dan bintang” seperti dalam janji-janji Pakatan Rakyat.

“Namun rakyat juga tidak boleh terus memberi sokongan kepada kerajaan yang tidak boleh memberi mereka apa-apa harapan,” katanya.

Dr Khir menjelaskan BN harus datang dengan pelan yang meyakinkan majoriti rakyat.

“Kalau pun tidak seindah Pakatan, namun pelan BN jika baik dan cantik ia boleh mendapat kepercayaan rakyat kerana kemampuan BN telah terbukti,” katanya lagi.

No comments

Powered by Blogger.