"Mereka jahil dan bongkak" – James Masing

Oleh Joseph Tawie

KUCHING: Menteri Pembangunan Tanah Sarawak James Masing naik berang terhadap sekumpulan aktivis yang menuduh kerajaan negeri mengambil tanah orang asli.

"Mereka jahil dan bongkak," kata beliau dan menambah, beliau tidak peduli jika dilihat terlalu agresif untuk membantu rakyat miskin.

Beliau turut mengecam mereka sebagai pembohong kerana menuduh kerajaan membolot tanah kaum Penan.

Masing mengadakan sidang akhbar membalas tuduhan dalam sepucuk surat daripada seseorang yang bernama Robert E. Murkowski yang dialamatkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sesalinan surat itu dikirimkan kepada beliau dan Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

"Surat ini menunjukkan dua perkara mengenai penulis surat – dia jahil dan bongkak kerana tidak mengetahui undang-undang di sini dan dia menggambarkan kerajaan seolah-olah diuruskan oleh sekumpulan penyangak," kata beliau.

Merujuk kepada tohmahan penulis bahawa masyarakat Penan menjadi mangsa kononnya tanah mereka dirampas, beliau berkata:

"Satu pembohongan besar"

"Ia satu pembohongan besar. Kita tidak pernah menghalang masyarakat nomad Penan daripada merayau di kawasan Baram dan Belaga untuk menangkap ikan dan memburu. Malah di Taman Negara Mulu pun kita benarkan mereka memburu binatang, mengumpul hasil hutan dan menangkap ikan."

Beliau berkata, "masyarakat Penan tidak banyak yang memiliki tanah berstatus ‘native customary rights’ (NCR).

"Saya benar-benar mahu membangunkan tanah NCR," kata beliau kepada wartawan. Jika tanah tersebut tidak dibangunkan, pemiliknya akan kekal miskin. Saya akan meneruskan usaha ini kerana ia baik untuk rakyat. Kita tidak mahu mereka kekal miskin."

Kini, kira-kira 200,000 hektar tanah NCR diusahakan dengan tanaman kelapa sawit. Masing berkata, menjelang tahun 2020, kementeriannya menyasarkan untuk membangunkan dua juta hektar tanah, termasuk 1.5 juta hektar tanah NCR.

Beliau mendakwa kerajaan tidak pernah mengambil alih tanah NCR secara paksa. "Kita perlu mengikuti prosedur dan garis panduan yang ketat," katanya.

No comments

Powered by Blogger.