Perlis juga larang program ESQ

KUALA LUMPUR, 15 Dis – Perlis turut mengambil keputusan melarang syarikat program motivasi ESQ daripada menjalankan aktivitinya di negeri tersebut.

Sehubungan itu, Mufti Perlis Dr Juanda Jaya berkata, umat Islam dinasihatkan agar berhati-hati terhadap buku ESQ karangan Ary Ginanjar Agustian dan kursus-kursus latihan yang ada kaitan dengan buku berkenaan kerana terdapat banyak istilah dan kenyataan yang mengelirukan dan boleh membawa kepada kecelaruan akidah.

“Selain itu, sebarang aktiviti berkaitan ESQ adalah dilarang daripada dijalankan di negeri Perlis,” kata beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Kata beliau, Jawatankuasa Fatwa Perlis telah berbincang mengenai Kursus ESQ Leadership Training dalam beberapa siri mesyuarat di samping beberapa taklimat yang disampaikan oleh pelbagai sumber.

“Jawatankuasa ini yang bersidang pada 15 hingga 16 November 2010 telah mengambil keputusan supaya umat Islam diberikan peringatan dan nasihat berkaitan Kursus ESQ Leadership Training yang dijalankan di negara ini,” kata beliau.

Juanda menambah, keputusan jawatankuasa itu telah diangkat kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan telah diperakukan dalam mesyuarat 7 Disember lalu.

Bulan lalu, Selangor mengumumkan telah membekukan penganjuran kursus motivasi kepimpinan ESQ di negeri itu ekoran keputusan Majlis Fatwa Selangor mahu memperbetulkan “keraguan” mengenai beberapa elemen program yang berasal dari Indonesia itu.

Pada Julai lalu, Majlis Fatwa Kebangsaan telah memutuskan bahawa kursus ESQ itu boleh dilaksanakan di negara ini dengan pengawasan sepenuhnya oleh panel syariah yang dilantik oleh ESQ.

Setakat ini Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah melarang penganjuran kursus itu.

“Selepas Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan memutuskan latihan ESQ telah melencong (dari ajaran Islam), kerajaan negeri telah membekukan program itu,” kata Exco Kerajaan Negeri Dr Halimah Ali pada sidang Dewan Undangan Negeri Selangor 15 November lalu.

“Majlis Fatwa Selangor telah membuat keputusan bahawa pengurusan ESQ perlu melakukan perubahan atau dengan cepat perbetulkan fakta, kenyataan atau sebarang aktiviti yang boleh menimbulkan keraguan termasuk buku yang dikeluarkan ESQ atau selepas latihan,” tambahnya.

Isu ESQ menjadi kontroversi setelah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan mengharamkan modul latihan kursus motivasi anjuran syarikat itu pada 17 Jun lepas selepas mendakwa ajarannya menyeleweng daripada akidah dan syariat Islam.

Ketika mesyuarat pada 21 September lalu, Majlis Fatwa Selangor juga memutuskan bahawa ESQ mesti menarik balik kesemua edisi lama buku mereka dari kedai-kedai buku dan juga artikel-artikel dan bahan-bahan lain yang diedarkan kepada peserta kursus sebelum programnya boleh disambung semula di negeri itu, kata Dr Halimah.

“Mesyuarat juga memutuskan bahawa tiada halangan bagi mana-mana badan atau agensi di Selangor untuk mengikuti kursus latihan kepimpinan ESQ selepas pengurusan ESQ mengambil tindakan-tindakan itu,” kata beliau yang juga Adun Selat Kelang.

Pada Julai lalu, Pengerusi jawatankuasa itu Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin berkata keputusan itu dibuat setelah muzakarah yang bersidang pada 16 Jun lalu berpuas hati dan berpandangan bahawa kebanyakan unsur-unsur keraguan yang terkandung dalam kursus tersebut boleh diperbetul dan diperjelaskan.

Katanya, muzakarah turut memutuskan pihak ESQ membuat perubahan dan memperbetulkan dengan segera fakta-fakta, kenyataan atau apa jua aktiviti dan perlakuan yang boleh menimbulkan keraguan atau yang boleh ditafsirkan sebagai bertentangan dengan syariat Islam.

Namun Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Wan Zahidi Wan Teh telah mengeluarkan bahawa ajaran, pegangan serta fahaman yang dibawa ESQ dan apa-apa ajaran seumpama dengannya, adalah menyeleweng daripada ajaran Islam kerana mengandungi perkara yang boleh merosakkan akidah dan syariat Islam, selain meminta orang ramai menjauhinya.

Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria dan bekas mufti Johor Datuk Nooh Gadut bagaimanapun mempertahankan program tersebut dengan mengatakan ia tiada kena-mengena dengan liberalisme dan pluralisme.

ESQ Leadership Center ditubuhkan di Malaysia pada 2006, yang mana kursus kepimpinan motivasi yang ditawarkan berpandukan kepada intelektual, emosional dan spiritual dengan berpandukan ajaran Islam.

No comments

Powered by Blogger.