PKR jawab tinjauan penyelidik UM

Nik Nazmi Nik Ahmad

Soal selidik yang baru dijalankan oleh Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya menjelang pemilihan parti telah dibentangkan kepada pimpinan Parti Keadilan Nasional beberapa minggu sebelum disampaikan kepada media.

PKR merupakan parti yang memimpin budaya politik baharu di Malaysia. Sejak awal lagi, parti menyedari risiko yang dihadapai, sekiranya sistem satu anggota satu undi menyebabkan persaingan yang berpanjangan.

Namun walaupun proses pemilihan mencabar, proses tersebut juga perlu bagi memastikan kualiti kepimpinan dan mengurangkan risiko politik wang.

Parti mengambil risiko ini sekarang meskipun wujud kemungkinan persepsi negatif pengundi selepas kempen serangan Umno dan Barisan Nasional untuk memanipulasi pemilihan.

Sebelum in, PKR telah membuat satu lagi keputusan berani. Pada tahun 1999, konsep parti pelbagai kaum yang benar-benar mewakili semua rakyat Malaysia dilihat berisiko, namun PKR tetap istiqamah dan pendekatan ini menyumbang kepada kejayaan pada Pilihan Raya Umum ke-12 dan pembentukan Pakatan Rakyat.

Keputusan melalui proses pemilihan langsung telah terbukti keputusan yang baik apabila lebih ramai pimpinan wanita dan muda mendapat tempat di peringkat nasional dan cabang seluruh negara.

Kami yakin dengan kematangan rakyat dan PKR mempunyai kebolehan untuk bertindak berdasarkan kematangan ini.

Kekuatan PKR datangnya daripada rakyat dan kami akan terus berusaha untuk terus memantapkan PKR agar rakyat Malaysia mendapat parti politik yang terbaik.

Justeru kami mengalu-alukan sebarang kritikan membina dan pandangan dengan hati yang terbuka.

PKR akan memulakan siri kempen di peringkat nasional untuk kembali mengenengahkan keadilan sosial dan permasalahan rakyat dalam wacana politik Malaysia. - anwaribrahimblog.com

Penulis ialah pengarah komunikasi PKR.

No comments

Powered by Blogger.