Saya tak sertai parti Zaid, kata Chegubard

KUALA LUMPUR, 16 Dis — Bekas calon jawatan ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Badrul Hisham Shaharin menegaskan, beliau tidak menyertai parti yang diterajui Datuk Zaid Ibrahim.

“Beberapa hari ini saya dihujani e-mel, SMS dan panggilan telefon bertanyakan mengenai betulkah saya meninggalkan PKR dan menyertai sebuah parti lain bersama Datuk Zaid Ibrahim.

“Malah ada SMS dari beberapa nombor tak dikenali dengan sengaja menghantar mesej sindiran-sindiran yang agak kasar,” kata beliau dalam tulisan blognya hari ini.

Semalam, Zaid dipilih sebagai presiden Akim, yang namanya ditukar menjadi Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita).

Katanya, beliau ingin menjawab dengan tegas tohmahan yang dilemparkan kononnya akan meninggalkan parti dan dipujuk oleh Zaid dengan bayaran tertentu.

“Sememangnya sejak dari ketika proses pemilihan saya sudah difitnah menerima wang daripada Datuk Zaid sebanyak RM400,000 kononnya bagi menyokong beliau.

“Mungkin menghormati saya, Datuk Zaid tidak pernah pun mempelawa saya menyertai beliau keluar parti dan memasuki parti lain,” katanya.

“Saya juga tegaskan kesetiaan saya kepada Keadilan tidak pernah goyah. Cuma kritikan yang saya lontar ialah demi kebaikan parti ini. Saya tidak mahu jika terdapat masalah kita asyik ‘menyapu’ semua masalah dibawah karpet.

Bagaimanapun Badrul Hisham yang turut dikenali sebagai “Chegubard” mengucapkan tahniah kepada Zaid yang telah memilih ‘kenderaan’ politik baru.

“Saya dan teman-teman menghormati pendiran yang beliau ambil dengan menyertai Akim dan kemudian melalui mesyuarat agung tergempar beliau terpilih sebagai presiden dan keputusan diambil menukar parti tersebut kepada Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita),” katanya.

Sekurang-kurangnya Zaid melilih untuk terus berjuang demi rakyat dan mempertahankan prinsip yang beliau yakini, kata Badrul Hisham.

“Sebagai seorang yang prodemokrasi saya mengajak diri saya dan semua melihat perkembangan ini dari persepsi positif.

“Saya juga berharap Datuk Zaid dapat menggunakan kenderaan politik baru yang beliau ada ini untuk menyemarakkan demokrasi, mendidik rakyat terbanyak mengenai hak seterusnya memperkasa rakyat,” katanya.

No comments

Powered by Blogger.