Siapakah tuan di Malaysia

Oleh Loyar Muda

Isu ketuanan muncul lagi. Barangkali politik Malaysia masih belum dapat menembusi takuk lama dengan mengungkit isu-isu sebegini sehingga memanaskan pentas politik buat seketika.

Tidaklah dapat dipastikan apakah kebaikan “mengulangkaji” isu ini tetapi ia adalah sesuatu yang sangat menguntungkan kerana di situlah akan muncul watak-watak ahli politik untuk menyokong, membantah dan memberi pandangan mengikut intepretasi masing-masing


Ketuanan Melayu. Ketuanan rakyat. Ada juga yang menimbulkan ketuanan Islam. Mana satu yang sesuai digunakan?

Jika ketuanan Melayu saya khuatir perkataan ketuanan itu tidak dapat dijumpai dalam mana-mana peruntukan Perlembagaan Persekutuan. Perkara 153 hanya memperuntukkan kedudukan istimewa Melayu dan Bumiputera. Saya tidak dapat bersetuju apabila ada yang cuba mengintepretasikan kedudukan istimewa itu sebagai ketuanan Melayu.

Jika ada yang masih mahu mempertahankan interpretasi ini dengan menggunakan “purposive approach” tetapi intepretasi tersebut tidak boleh melucutkan kedudukan istimewa @ ketuanan kaum Bumiputera yang lain kerana perkara 153 Perlembagaan Persekutuan bukan sahaja untuk kaum Melayu tetapi juga untuk kaum Bumiputera yang lainnya.

Justeru di manakah justifikasi untuk menyatakan bahawa wujudnya konsep ketuanan Melayu ini? Tidak rasa bersalahkah menafikan kewujudan kedudukan istimewa @ ketuanan kaum Bumiputera yang lain?

Ketuanan rakyat. Wujudkah di Malaysia?

Konsep Raja Berpelembagaan diadaptasi oleh negara ini untuk memastikan agar Raja memerintah mengikut lunas undang-undang. Bidang kuasa dan fungsi Raja telah digariskan dalam Perlembagaan Persekutuan. Rakyat tidak boleh memilih siapa Yang Di-Pertuan Agong. Rakyat hanya boleh memilih Perdana Menteri yang merupakan tunjang kuasa eksekutif negara melalui proses pillihan raya.

Walaupun pada persepsi umum bahawa Perdana Menteri adalah lebih berkuasa dan “kuasa tertinggi” di negara ini, jawatan itu masih tertakluk kepada budi bicara Yang Di-Pertuan Agong. Perkara 40 (2)(a) memperuntukkan bahawa Yang Di-Pertuan mempunyai kuasa untuk melantik Perdana Menteri dan Perkara 40(2)(b) memperuntukkan kuasa Yang Di-Pertuan Agong untuk menolak permintaan Perdana Menteri membubarkan Parlimen tetapi pilihan raya harus dijalankan setiap 5 tahun.

Apakah ini bererti kuasa rakyat hanya muncul setiap 5 tahun? Setiap rakyat Malaysia, samada kerabat diraja, kuasa eksekutif, legislatif, perundangan, pekerja sektor awam mahupun swasta, petani, peladang, pekerja buruh, siswa-siswi, pelajar-pelajar hatta tukang sapu di jalanan (street sweeper) adalah tertakluk di bawah Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara.

Ketuanan Islam. Perkara 3 memperuntukkan agama Islam sebagai agama rasmi persekutuan tetapi Perkara 4 memperuntukkan bahawa Perlembagaan Persekutuan, bukan undang-undang Islam sebagai undang-undang tertinggi negara. Justeru ketuanan Islam juga masih tidak wujud di Malaysia.

Persoalannya siapakah tuan yang sebenarnya? Saya serahkan kepada para pembaca untuk membuat kesimpulan sendiri kerana anda adalah “tuan” kepada diri anda sendiri dan anda berhak untuk menentukan kesimpulan dan intepretasi sendiri.

No comments

Powered by Blogger.