Skandal kehilangan RM100 bilion, siasat Mahathir- AMK

Mar 1 2012 / Keadilan Daily
(Oleh: Mohd Martin Kahar)

KUALA LUMPUR, 1 Mac: Angkatan Muda KEADILAN menggesa Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad yang dikaitkan dengan skandal kehilangan wang pembayar cukai semasa pentadbiran beliau.

Ketua Penerangan AMK, Lee Khai Loon merujuk pendedahan Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang mendakwa pembayar cukai kehilangan RM100 bilion selama selama 22 tahun pentadbiran Mahathir.

"SPRM perlu meminta kerjasama Tun Mahathir untuk memberi maklumat berkenaan dengan gejala rasuah yang berlaku semasa pentadbiran beliau untuk memastikan matlamat pembasmian rasuah tercapai," katanya dalam satu kenyataan.

Susulan kenyataan Kit Siang, Mahathir secara sinis mencadang kerajaan mengadakan audit penuh kepada penerima gelaran Tun semasa pentadbirannnya.

Mengulas lanjut, Khai Loon berkata, SPRM perlu bertindak lebih tegas terhadap pemerintah dan penjawat awam berpangkat tinggi supaya rasuah tidak berlaku dengan sewenang-wenangnya.

"Kita tidak mahu SPRM hanya berani mengambil tindakan ke atas ikan bilis dan membiarkan ikan jerung bermaharajarela," ujarnya.

No comments

Powered by Blogger.