Jimat cermat bermula dari kerajaan

Memang dalam keadaan peningkatan kos hidup sebegini, sedangkan pendapatan tidak meningkat, maka satu-satu usaha yang tinggal kepada kita adalah untuk mengubah gaya hidup. Langkah-langkah berjimat cermat yang drastik perlu diperkenalkan. Walaubagaimanapun pihak kerajaan sepatutunya tidak terkecuali. Sering kita lihat pemborosan dan pembaziran berlaku apabila wang rakyat dibelanjakan banyak pertimbangan yang rasional.

Rakyat tiada pilihan, mereka akan berjimat cermat, tetapi kerajaan bagaimana?

Dalam NST hari ini Menteri Belia dan Sukan, Ismail Sabri Yaakob mengumumkan yang kementerian beliau mulai bulan hadapan akan membina komplek sukan serbaguna atau “Gelanggang Rakyat” di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri seluruh negara. Setiap komplek ini dijangka menelan belanja RM120 juta sebuah.

Tujuannya memang baik kerana setiap komplek ini nanti akan menyediakan kemudahan sukan futsal, badminton, sepaktakraw, bola jarring dan tennis. Cuma masalahnya dalam suasana kita semua mahu berjimat cermat, adakah penting “Gelanggang Rakyat” ini sekarang? Kalau perlu pun mungkin tidaklah dalam setiap DUN tetapi sekurang-kurangnya setiap kawasan Parlimen. Tetapi lebih praktikal lagi dalam keadaan gawat ini lebih baiklah ia ditangguhkan dan wang tersebut digunakan untuk meringankan beban rakyat.

Sesungguhnya banyak kementerian, yang saya kira tidak berapa kritikal perlu menghentikan projek dan cadangan perbelanjaan mereka buat masa ini. Ini termasuklah kementerian belia dan sukan, kementerian perpaduan, kebudayaan, kesenian dan warisan dan lain-lain. Begitu juga jawatan-jawatan penasihat kepada kerajaan yang perbelanjaannya sahaja menelan ratusan ribu ringgit sebulan.

Dalam pada itu Perdana Menteri mungkin dinasihatkan mengurangkan pengiring dan pengawal peribadinya. Saya perhatikan pengiring dan pengawal peribadi Dollah sekarang melebihi PM-PM sebelum ini malah kadangkala kelihatan jumlahnya seakan yang dibekalkan kepada Presiden Amerika Syarikat. Berpada-padalah, kalau sejarahnya memang tidak pernah ada ancaman terhadap nyawa PM dan menteri-menteri, maka ala kadar cukuplah.

Rakyat disuruh berjimat, tetapi jika kerajaan berterusan berbelanja seolah negara tidak bermasalah, maka apa gunanya penjimatan rakyat itu?

roslan sms

No comments

Powered by Blogger.