oh pak BODOHlahku sayang...

KUALA LUMPUR: "Kami (Sarawak) juga berharap Perdana Menteri akan bawa bersama manisan (hari ini)."

Demikian harapan rakyat Sarawak khususnya ahli-ahli politik negeri itu yang menyambut ketibaan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini - lawatan kerja kedua beliau selepas pilihan raya umum ke-12 8 Mac lalu.

Mereka juga mengharapkan Abdullah akan mengumumkan sesuatu yang lebih baik ataupun sekurang-kurangnya sama dengan insentif yang diperoleh oleh rakyat Sabah awal bulan ini.

"Kami berharap beliau akan membawa buah tangan, manisan yang tidak kurang daripada yang telah diterima rakyat Sabah.

"Sarawak juga merupakan penyokong kuat kerajaan dan parti (Barisan Nasional). Kami harap ini akan dihargai (sempena lawatan Perdana Menteri hari ini)," kata Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar ketika dihubungi mStar Online semalam.

Abdullah dijadual tiba pagi ini.

Ketika lawatan kerja dua hari ke Sabah awal bulan ini, Abdullah mengumumkan 13 insentif yang disifatkan oleh pemimpin-pemimpin Sabah sebagai boleh menarik nafas lega kerana ia dapat menyelesaikan pelbagai masalah rakyat.

Antara insentif itu termasuklah memansuhkan serta-merta Jabatan Pembangunan Persekutuan Sabah (JPPS), melantik anak Sabah menjawat jawatan penting di universiti dan dalam kerajaan.

Ia sebahagian daripada insentif yang diputuskan kerajaan persekutuan ekoran desakan dan tuntutan yang dikemukakan pemimpin Sabah bagi menghargai prestasi mereka dalam pilihan raya umum lalu.

Dalam pilihan raya umum ke-12, Sarawak telah menyumbangkan 30 kerusi Parlimen kepada Barisan Nasional (BN) manakala Sabah pula 24, daripada 140 kerusi dimiliki BN di Dewan Rakyat sekarang.

Sarawak juga pernah menimbulkan rasa tidak puas hati yang serupa kerana tiada perwakilan yang cukup menarik dan 'lumayan' dalam barisan Jemaah Menteri yang dibentuk selepas pilihan raya umum lalu.

Ia turut disentuh Wan Junaidi, yang merupakan Ahli Parlimen Santubong.

"Memang ada rasa kekecewaan sedikit kerana tiada penghargaan cukup menarik dalam jawatan Kabinet Persekutuan (semasa)," kata Wan Junaidi lagi, yang bulan lalu pernah mendedahkan beliau juga ditawarkan untuk menyertai barisan pembangkang Pakatan Rakyat.

Kata Wan Junaidi selepas lawatan kerja pertama Abdullah dua bulan lalu tiada banyak perubahan ataupun insentif yang diumumkan bagi rakyat Sarawak.

Sehubungan itu, beliau berharap Perdana Menteri akan mengubati kekurangan dan kekecewaan yang wujud di kalangan rakyat Sarawak dengan mengumumkan pendekatan yang menyeluruh untuk memperbaiki keadaan ekonomi dan sosial di Sarawak, khususnya dengan mengambil kira persekitaran semasa yang dihimpit kenaikan kos bahan api.

Ia juga merupakan lawatan kerja pertama ke Sarawak bagi Abdullah selepas beliau mengumumkan kenaikan harga petrol dan diesel berkuat kuasa Khamis lalu.

"Sarawak masih ketinggalan dalam banyak infrastruktur sosial dan infrastruktur ekonomi, ketinggalan jauh berbanding negeri-negeri yang masih di belakang di Semenanjung," katanya.

Dalam pada itu, laporan Bernama yang memetik Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Dr George Chan berkata, kerajaan negeri akan mengemukakan cadangan meningkatkan pengeluaran beras dan mencapai tahap sara diri kepada Perdana Menteri semasa melakukan lawatan kerja sehari ke Sarawak hari ini.

Kata Chan, mekanisme seumpamanya akan melihat kepada keperluan bagi menyediakan petani tempatan dengan galakan dan insentif bagi meneruskan penanaman padi dalam skala yang lebih ekonomi dan bukannya beralih kepada penaman getah dan kelapa sawit yang lebih menguntungkan.

Sempena lawatan berkenaan Perdana Menteri dijadual mengadakan dialog dengan para pemimpin Barisan Nasional (BN) sebelum merasmikan jambatan Sungai Sebuyau di Simunjan.

Abdullah juga akan melawat Bandar Mutiara Tebedu dan menghadiri majlis pemimpin bertemu rakyat serta menghadiri taklimat di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Tebedu.

No comments

Powered by Blogger.