Penumpang bas ekspres kesal mainan harga tiket

BUTTERWORTH: Dua penumpang sebuah bas ekspres mendakwa tertipu dengan kadar tambang apabila membayar harga lebih tinggi berbanding harga dicatat pada tiket.

Penumpang terbabit, Noremelia Ramlan, 30-an dan rakannya, Zalina Abdullah, 30-an, berkata mereka membeli tiket di kaunter bas Pangkalan Sultan Abdul Halim bagi perjalanan ke Muar, kelmarin.

Mereka yang sering berulang-alik dari Pulau Pinang ke Johor berkata, sebelum ini harga tiket ialah RM38.90 seorang bagi perjalanan dari Butterworth ke Muar tetapi terkejut apabila tiket ke destinasi sama dijual pada harga RM50.

Noremelia mendakwa, selepas membayar RM100 bagi dua tiket, mereka hanya diberikan tiket ‘sementara’ tanpa tercatat harga dan tiket sebenar hanya diberikan ketika menaiki bas.


“Namun, ketika dalam bas, tiket yang diberikan tertera harga RM38.90 tetapi tiada baki dipulangkan semula menyebabkan kami rasa tertipu,” katanya kepada Harian Metro, semalam.

Beliau berkata, dia dimaklumkan bahawa bas dinaiki akan terus ke Muar tetapi singgah menurunkan penumpang di Kuala Lumpur dan Seremban.

“Kami hairan kenapa harga tiket di kaunter Butterworth bagi perjalanan ke Muar lebih mahal berbanding harga tiket di bahagian pulau ke Muar iaitu RM45.

“Harga tiket dari Muar ke Butterworth dan ke Pulau Pinang pula tetap RM38.90. Ini bermakna setiap penumpang kerugian RM11.10 jika bertolak dari Butterworth ke Muar.

“Kami mengesyaki ada pemandu makan ‘duit luar’ dan sengaja memberi tiket tanpa tercatat harga ketika membuat pembayaran di kaunter,” katanya.

Selain itu, Noremelia mendakwa, bas ekspres berkenaan juga tidak berhenti di R&R Slim River, sebaliknya berhenti di hentian lebuh raya.

No comments

Powered by Blogger.