PM Turki salahkan gerila Kurdis


PAKAR-PAKAR forensik memeriksa lokasi letupan bom di Istanbul lewat kelmarin.


ISTANBUL - Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan secara tidak langsung semalam menyalahkan gerila-gerila pemisah Kurdis berhubung dua letupan bom yang menggegarkan ibu kota Istanbul menyebabkan 17 orang maut dan lebih 150 cedera.

Serangan pada malam kelmarin itu meningkatkan lagi ketegangan iaitu beberapa jam sebelum Mahkamah Perlembagaan dijadualkan bersidang bagi menentukan nasib Parti Keadilan dan Pembangunan yang berlandaskan Islam pimpinan Erdogan.

Parti tersebut berdepan kemungkinan 'ditutup' jika didapati bersalah kerana mengancam sistem pemerintahan sekular Turki.

Erdogan tidak menamakan Parti Pekerja Kurdistan (PKK) sebagai dalang tetapi beliau menyifatkan dua letupan itu ialah harga yang perlu dibayar kerana operasi menggempur gerila-gerila PKK di Turki dan utara Iraq, tempat perlindungan mereka.

"Malang sekali, harga operasi ketenteraan itu besar. Insiden itu adalah satu contoh jelas," kata Erdogan ketika melawat tempat berlakunya letupan-letupan tersebut.

Kedua-dua letupan itu merupakan serangan paling merbahaya terhadap penduduk awam di Turki sejak tahun 2003 apabila 63 orang terbunuh dalam empat serangan pengebom berani mati di Istanbul yang didakwa perbuatan Al-Qaeda.

Gabenor Istanbul, Muammer Guler menyatakan jumlah mereka yang terbunuh ialah 17 orang, lima daripadanya kanak-kanak dan memberi amaran angka kematian mungkin meningkat kerana enam mangsa masih kritikal.

Ketika ditanya sama ada letupan dilakukan PKK, Guler berkata, kaitan mengenainya dapat dikesan dan polis masih melakukan siasatan, lapor agensi berita Anatolia.

Bagaimanapun, seorang pemimpin kanan PKK ketika diwawancara, menafikan kumpulannya terbabit dalam serangan tersebut. - AFP

No comments

Powered by Blogger.