pak lah yang tiada ilmu agama


Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hadir di Majlis Kalungan Bunga Sempena Hari Pahlawan di Tugu Negara


KUALA LUMPUR 31 Julai - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyempurnakan istiadat meletak kalungan bunga di Tugu Peringatan Negara di sini sempena Hari Pahlawan 2008 sebagai memperingati wira-wira yang gugur semasa mempertahankan tanah air.

Cuaca redup dan nyaman pagi ini mewujudkan suasana sayu semasa sambutan berkenaan.

Perdana Menteri yang tiba pada pukul 8.30 pagi memulakan upacara simbolik itu dengan memeriksa perbarisan kawalan kehormat oleh Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja pimpinan Mejar Norhisham Kamal.

Ia diikuti tiupan lagu Last Post untuk memperingati pahlawan negara yang gugur di perbatasan. Majlis kemudian mendengar deklamasi sajak berjudul Pahlawanku oleh Pegawai Waran I, Azamin Itam.

Sajak itu mengenang jasa pahlawan negara yang terkorban di medan perang sejak Perang Dunia Kedua, zaman darurat dan semasa menjalankan misi keamanan di bawah mandat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Perdana Menteri kemudian mendahului acara peletakan kalungan bunga di hadapan Tugu Negara sebelum diikuti Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Zainal dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Turut berbuat demikian ialah Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Ismail Jamaluddin; Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Abdul Aziz Jaafar dan Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin.

Presiden Persatuan Bekas Tentera Malaysia, Datuk Muhammad Abd. Ghani turut mengalungkan bunga.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan, Datuk Seri Najib Tun Razak bagaimanapun tidak dapat menghadiri sambutan pada tahun ini kerana terbabit dengan Dialog Antarabangsa Selatan Afrika (SAID) 2008 di Zambia.

Majlis turut disertai beberapa menteri Kabinet, timbalan menteri, pegawai kanan kerajaan,

wakil-wakil rakyat dan diplomat asing.

Hari Pahlawan disambut pada 31 Julai setiap tahun sebagai menghargai jasa wira-wira negara yang terkorban serta cedera ketika mempertahankan kedaulatan agama, bangsa dan negara. - Utusan.

No comments

Powered by Blogger.