3 pemilik bengkel senggara Perdana Exco Terengganu ditahan
KUALA LUMPUR 27 Julai – Badan Pencegah Rasuah (BPR) telah menahan tiga pemilik bengkel kereta di Kuala Terengganu bagi membantu siasatan kes penyenggaraan 14 buah Proton Perdana V6 Executive Exco Kerajaan Terengganu berjumlah RM1.07 juta dalam tempoh empat tahun.
Mereka ditahan dalam dua serbuan di Kuala Terengganu pada Jumaat dan Sabtu lalu.
Salah seorang yang ditahan itu dipercayai pemilik bengkel yang mengenakan caj RM175,229.97 bagi menyenggara sebuah kereta Perdana V6 yang digunakan oleh seorang Exco Terengganu.
BPR tidak menolak kemungkinan menahan beberapa orang lagi berhubung kes yang sama dalam tempoh terdekat.
Selain itu, lapan buah kereta Proton Perdana V6 Executive yang pernah digunakan oleh Exco Terengganu juga dirampas dari tiga bengkel berasingan, empat daripadanya Khamis lalu manakala bakinya dirampas pada Jumaat.
Pengarah Siasatan BPR, Datuk Shukri Abdull memberitahu Utusan Malaysia hari ini, seorang daripada suspek ditahan pada Jumaat lalu manakala dua orang lagi petang semalam.
Katanya, kesemua mereka yang berusia 30-an hingga 50-an itu ditahan reman selama empat hari bermula hari ini mengikut Akta Pencegahan Rasuah 1967 bagi membantu siasatan.
“BPR mungkin menahan beberapa orang lagi tetapi pada masa ini saya tidak boleh dedahkan siapa mereka,” katanya ketika dihubungi.
Sebelum ini Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mokhtar Nong mendedahkan empat pusat servis utama yang digunakan oleh ahli-ahli Exco dan pegawai kanan negeri ialah Pusat Servis EON, Tenaga Setia Service Sdn. Bhd., Pusat Servis Ranaco dan AMBL Services.
Pada 22 Julai lalu, pejabat Menteri Besar dalam satu kenyataan memberitahu, kerajaan negeri terpaksa membayar kos tinggi untuk menyenggara kereta Perdana V6 Executive sejak 2004 hingga 2008.
Kos senggaraan yang tinggi itu adalah faktor yang diambil kira oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Said bagi meluluskan pembelian 14 buah kereta Mercedes E200 Kompressor untuk kegunaan Menteri Besar, Exco dan para pegawai kanan negeri Terengganu.
Setakat ini Shukri berkata, BPR telah memanggil lebih 10 orang untuk memberi keterangan dan akan memanggil beberapa individu lain jika perlu.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, BPR ‘tidak gentar’ untuk memanggil mana-mana Exco kerajaan negeri sekiranya mendapati mereka terlibat dalam kes berkenaan.
No comments
Post a Comment