Warga Rasau sah kena demam Chikungunya


SEORANG mangsa, Sabeah Abdullah menunjukkan simptom wabak demam yang dialaminya kepada jururawat Pejabat Kesihatan Batang Padang semasa pemeriksaan di Slim River kelmarin.


IPOH - Penyakit 'misteri' demam sendi yang menyerang penduduk sekitar Slim River khusus Kampung Rasau sejak awal bulan lalu disahkan sebagai demam Chikungunya.

Pengarah Jabatan Kesihatan Perak, Datuk Ahmad Razin Ahmad Maher berkata, hasil pemeriksaan lanjut ke atas penduduk setempat melalui pasukan khas yang ditubuhkan Pejabat Kesihatan Batang Padang kelmarin mengesahkan wabak tersebut dibawa oleh sejenis nyamuk yang menyebarkan Chikungunya.

"Seramai 107 penduduk sekitar Slim River terutamanya Kampung Rasau telah diperiksa semalam (kelmarin), 20 dalam status disyaki manakala enam disahkan menghidap penyakit tersebut menerusi ujian darah.

"Setakat ini seorang sahaja yang kritikal dan masih dirawat di Hospital Slim River," katanya ketika dihubungi semalam.

Wabak yang menyerang kampung kira-kira 20 kilometer dari pekan Slim River itu didakwa disebarkan oleh pendatang asing yang ramai bekerja di ladang getah dan kelapa sawit berhampiran.

Antara gejala klinikal Chikungunya ialah demam berpanjangan, ruam, sakit kepala dan sakit sendi keterlaluan hingga terasa seperti lumpuh hingga terpaksa merangkak dan dipapah untuk bergerak.

Penduduk mendakwa persekitaran rumah dan tempat kerja warga asing yang kotor dan tidak mempedulikan kebersihan menyumbang kepada penularan penyakit tersebut.

No comments

Powered by Blogger.