(MUTAKHIR] Wan Azizah: Hubungan masih mantap, PAS tetap kekal dalam Pakatan Rakyat

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yakin keanggotaan Pas bersama Pakatan Rakyat akan terus kekal dan mantap.

“Hubungan kami (PKR, Pas dan DAP) masih baik dan akan terus baik seperti biasa,” kata beliau kepada mStar Online untuk mendapatkan ulasan mengenai tanda-tanda keretakan yang wujud dalam Pakatan Rakyat apabila Pengerusi Kebangsaan DAP, Karpal Singh mempersoalkan keanggotaan Pas bersama Pakatan Rakyat.

Ditanya mengenai cadangan yang dikemukakan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat mengenai pembubaran Pas dan Umno bagi membentuk sebuah parti baru, beliau berkata, perkara itu mungkin hanya cadangan bagi mencari jalan penyelesaian terhadap masalah orang Melayu.

“Mungkin beliau (Nik Aziz) cuba selesaikan masalah. Namun saya belum mendapat penjelasan lanjut mengenai cadangan yang dikemukakan itu.

“Kita perlu dengar dulu penjelasan Pas. Buat masa ini saya tak boleh beri komen lanjut,” katanya.

Beliau turut ditanya sama ada ketiga-tiga komponen Pakatan Rakyat akan mengadakan perbincangan lanjut mengenai isu ini, beliau berkata “soalan itu kena tanya Ketua Umum (Datuk Seri Anwar Ibrahim).”

Dr. Wan Azizah bagaimanapun menyifatkan Umno sengaja membesar-besarkan isu ini kerana parti itu sememangnya mengamalkan budaya politik perkauman.

“Umno mengamalkan politik perkauman, namun Pakatan Rakyat adalah berteraskan keadilan untuk pelbagai kaum dan etnik di Malaysia,” katanya.

No comments

Powered by Blogger.