Mukhriz kekal pendirian minta Pak Lah undur Disember ini

PETALING JAYA: Exco Pergerakan Pemuda Umno, Datuk Mukhriz Mahathir kekal dengan pendiriannya menggesa agar Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi perlu berundur daripada memimpin menjelang pemilihan parti Disember ini.

Mukhriz yang dihubungi mStar Online berkata, Abdullah harus berundur segera tahun ini bagi membolehkan pengganti beliau mempunyai masa yang cukup untuk memulihkan parti menghadapi pilihan raya umum ke-13.

"Saya masih berpendapat bahawa Abdullah perlu berundur sebelum Disember ini kerana masa empat tahun tidak cukup (untuk proses pemulihan)... kita kesuntukan masa dan masa empat tahun akan berjalan dengan cepat," kata beliau.

Pada 10 Julai lalu, Abdullah telah mengumumkan tarikh kuat kuasa pelan peralihan kepimpinan membabitkan beliau dan timbalannya, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak menjelang Jun 2010.

Pandangan beliau yang juga Ahli Parlimen Jerlun senada dengan pendapat yang diutarakan oleh bapanya, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam blog beliau kelmarin.

Dalam kritikan terbaru terhadap Abdullah, Dr. Mahathir "mengaku bersalah kerana" memilih penggantinya itu, tetapi menegaskan, kini yang salah meneruskan kepimpinan beliau adalah "ahli-ahli Umno sendiri."

"Setelah mengetahui kekalahan teruk yang menimpa Umno dan Barisan Nasional (BN) di bawah kepimpinan Abdullah, Umno masih kekalkan kepimpinannya, yang bertanggungjawab dan salah ialah ahli dan pemimpin-pemimpin Umno sendiri," katanya.

No comments

Powered by Blogger.