PILIHANRAYA KECIL KULIM-BANDAR BAHARU : BN JANGAN BERTANDING? - Ref Malaysiakini
Saya menyokong penuh hasrat Penasihat Parti KeADILAN Rakyat (PKR), Dato Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding di kerusi Parlimen Kulim-Bandar Baharu jika mahkamah mengarahkan pilihanraya kecil diadakan berikutan pembatalan keputusan pilihanraya umum 8 Mac lalu bagi kerusi parlimen tersebut.
Keputusan Anwar untuk bertanding pada pilihanraya kecil tersebut merupakan sesuatu yang dinantikan oleh rakyat Malaysia setelah Anwar tidak berada di Parlimen 10 tahun.
Pelbagai pihak memang menantikan keputusan mahkamah yang dijangka menentukan hala tuju politik Anwar. Mahkamah akan bersidang pada 19 Ogos ini bagi mendengar keputusan penghakiman bagi kerusi Parlimen tersebut.
Kita yakin Anwar akan memenangi kerusi tersebut berdasarkan perkembangan semasa dan keputusan Pilihanraya Umum lalu di mana Ahli Parlimennya Zulkifli Nordin berjaya mengalahkan calon BN, Aziz Sheikh Fadzir dengan majoriti 5,583 undi.
Dengan keadaan sekarang dimana harga minyak dan barangan melambung naik, Umno porak peranda, parti komponen BN, MCA, Gerakan & MIC juga kucar kacir maka kita yakin BN akan kecundang dengan majoriti yang lebih besar.
Saya ingin menasihatkan BN supaya memberikan kemenangan percuma kepada Pakatan Rakyat (PR) supaya duit rakyat tidak dibazirkan untuk berkempen jika benar-benar pilihanraya kecil ini menjadi kenyataan. Sudah pasti pemimpin-pemimpin BN akan sekali lagi menjadi 'Santa Klaus' memberikan projek-projek segera kepada rakyat Kulim-Bandar Baharu sebagaimana yang dilakukan mereka pada setiap pilihanraya kecil yang lepas.
Tidak cukup dengan projek, BN juga akan menggunakan taktik ugut, pujuk dan tipu demi untuk kemenangan mereka. Malah SPR juga sudah pasti akan menjadi keldai tunggangan mereka walaupun jelas ianya merupakan suatu tindakan paling tidak bermaruah dalam negara demokrasi.
Ayuh BN jangan bertanding pada pilihanraya kecil Kulim-Bandar Baharu.
No comments
Post a Comment