MB Terengganu dakwa Exco terpaksa guna Mercedes-Benz


PATUH ARAHAN: Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Rozi Mamat (kanan), menaiki kereta Perdana V6 di Kuala Terengganu, semalam.

KUALA TERENGGANU: Ahli Exco Terengganu masih menggunakan Mercedes-Benz E200 Kompressor berikutan Proton Perdana V6 Eksekutif diambil Badan Pencegah Rasuah (BPR) untuk membantu siasatan berhubung isu kos penyelenggaraan tinggi yang mencecah RM1.07 juta.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, berkata ahli Exco tidak mempunyai pilihan kecuali menggunakan Mercedes-Benz yang sudah diserahkan kepada mereka.

“Dah kereta Exco BPR ambil, (mereka) nak pakai apa? Pakai lah yang ada tu dulu. Takkan nak beli kereta baru pula. Nak pakai kereta (Proton Perdana) V6 baru pun kena tunggu bajet tahun depan,” katanya pada sidang media selepas majlis Makan Malam dan Ramah Mesra Menteri Besar Bersama Kepemimpinan Umno bahagian, di sini malam kelmarin.


Ditanya adakah kerajaan negeri akan membeli Proton Perdana V6 Eksekutif baru tahun depan untuk kegunaan ahli Exco menggantikan kenderaan sedia ada yang sering rosak, Ahmad berkata: “Tak taulah..kalau ada bajet tahun depan kita belilah...kalau dah gear box (kotak gear) tercabut nak buat macam mana?,” katanya.

Sabtu lalu, Kabinet memutuskan Kerajaan Terengganu mesti menggunakan Proton Perdana V6 Eksekutif sebagai kenderaan rasmi Exconya, manakala 14 Mercedes-Benz E200 Kompressor yang sudah dibeli hanya boleh digunakan untuk tetamu negeri.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, berkata keputusan itu dimaklumkan kepada Ahmad selepas mengadakan perjumpaan bersama yang turut dihadiri timbalannya, Datuk Seri Najib Razak bahawa sudah menjadi keputusan Kabinet kerajaan Terengganu tidak menggunakan Mercedes-Benz untuk Exco mereka.

SIMPAN: Kereta Mercedes E200 Kompressor yang diletakkan di Wisma Darul Iman.

BPR negeri setakat ini mengesahkan sudah mengambil keterangan sembilan individu termasuk empat pemandu Proton Perdana V6 digunakan anggota Exco negeri, selain mengambil dokumen dan fail berkaitan untuk membantu siasatan isu kos penyelenggaraan tinggi kenderaan rasmi itu dari 2004 hingga 2008 sejak Khamis lalu.

Ditanya adakah arahan supaya tidak menggunakan kereta Mercedes-Benz itu sudah dikeluarkan kerana beliau akan menunaikan umrah di Makkah mulai hari ini sehingga 5 Ogos, Ahmad berkata:

“Kita tengoklah macam mana. Pak Lah pun kata sesekali kita (anggota Exco) boleh pakailah. Perdana Menteri pun dah sebutkan kereta itu untuk tetamu kenamaan," katanya.

Kerajaan negeri sebelum ini memutuskan membeli 14 Mercedes-Benz E200 Kompressor bernilai RM3.43 juta untuk menggantikan Proton Perdana V6 Eksekutif kerana tidak mampu lagi menanggung kos penyelenggaraan tinggi kereta nasional itu yang dijadikan kenderaan rasmi anggota Exco dan pegawai kanan kerajaan negeri.

Berhubung tindakan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh untuk mengambil tindakan undang-undang mengenai kenyataan kos penyelenggaraan Proton Perdana V6 Eksekutif yang digunakan beliau sepanjang pemerintahannya tertinggi, Ahmad berkata, ia tidak bertujuan menunjukkan berlaku sebarang salah guna dilakukan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jertih itu.

“Kita tidak tuju pada Idris. Bukan nak kata dia salah guna, cuma silapnya masa perkiraan dibuat jumlahnya lari. Bukan nak kata salah dia ke apa..itu tidak timbul. Bukan niat nak jatuhkan dia atau apa-apa,” katanya.

Mengulas kenyataan Najib supaya kerajaan Terengganu tidak memperbesarkan isu projek lain termasuk Taman Tamadun Islam di Pulau Wan Man dan Piala Monsun di Pulau Duyong, Ahmad berkata, beliau akur dengan arahan itu.

No comments

Powered by Blogger.