Sikap diskriminasi Umno negeri bantut pertemuan di peringkat pusat
Ia bukan lagi sekadar omongan, sebaliknya benar-benar berlaku di Kelantan sejak ditadbir di bawah PAS pada 1990.
Malah keadaan tambah kusut lagi sejak kebelakangan ini apabila Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) yang diterajui Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Tan Sri Annuar Musa seolah-olah mahu berkonfrantasi dengan kerajaan negeri.
Sedangkan ketika Kada di bawah Tan Sri Hussien Ahmad, pemimpin kerajaan negeri pernah dijemput ke ibu pejabat Kada dan pegawainya menghadiri program dianjur kerajaan negeri.
Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, bagaimana kerjasama di antara Umno dan PAS boleh dilaksanakan sekiranya pelbagai halangan masih berlaku di Kelantan.
"Kerajaan negeri ingin sekali mendengar taklimat daripada Kada mengenai program penanaman padi yang dikendalikan di bawah agensi terbabit," katanya ketika berucap meraikan 300 rombongan penduduk Melayu, Cina dan India dari Sabak Bernam, Selangor.
Rombongan itu diketuai anggota jawatankuasa Penaja PAS Taman Muhibah, Sabak Bernam, Ibrahim Talib. Program berkenaan dianjur Cakno Pemuda Berek Baru, Gong Dermin, baru-baru ini.
Menteri Besar juga berkata, sikap diskriminasi juga berlaku apabila Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang sebelum ini bercadang membiayai 60 gerai kepada pengusahanya di Karnival Halal Kelantan 2008 telah menarik diri di saat-saat akhir.
"Inilah antara perkara yang dilakukan pemimpin Umno di Kelantan. Mereka seperti nak biarkan pemimpin kerajaan negeri menjadi kalut," katanya.
Oleh itu beliau berkata, bagaimana perjumpaan mahu diadakan di antara pemimpin Umno dan PAS bagi menyelesaikan masalah rakyat sekiranya halangan seperti itu masih berlaku.
Beliau juga berharap pelancong yang datang ke sini menyaksi sendiri keunikan yang terdapat di Kelantan.
"Saya tahu rakyat luar Kelantan begitu seronok untuk melawat negeri ini sebab pelbagai keunikan yang ada di sini.
"Melawat Kelantan tanpa pergi membeli-belah di Pasar Besar Siti Khadijah, dan berkunjung ke kawasan bebas cukai di Rantau Panjang atau Pengkalan Kubur seperti tidak sah," ujarnya. - mj/mks. _
No comments
Post a Comment