MUZAKARAH: SURAT TERBUKA KEPADA KEPIMPINAN DAN AHLI PARTI ISLAM SEMALAYSIA

Firman Allah Subhanahu wa Taala:

”Dan apabila datang kepada mereka sesuatu berita mengenai keamanan atau kecemasan, mereka terus menghebahkannya; padahal kalau mereka kembalikan sahaja hal itu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (para pemimpin dan para ulamak)di antara mereka,



tentulah hal itu dapat diketahui oleh orang-orang yang layak mengambil keputusan mengenainya di antara mereka dan jika tidaklah kerana limpah kurnia Allah dan belas kasihanNya kepada kamu, tentulah kamu (terbabas) menurut Syaitan kecuali sedikit sahaja (iaitu orang-orang yang teguh imannya dan luas ilmunya di antara kamu).” (Surah An-Nisa’:83)


Assalamualaikum Warahmatullahi wa Barakatuh.

Merujuk kepada ayat ke 83 Surah An-Nisa’ di atas, saya ingin menarik perhatian saudara-saudara seperjuangan yang amat saya kasihi kerana Allah sekalian, agar kita bertenang sejenak dan merenung sedalam-dalam mungkin panduan dan saranan yang telah dibekalkan kepada kita oleh Allah Subhanahu WaTaala dalam Kitab SuciNya, yang menjadi panduan kita selama ini, agar ianya dapat membuka jalan penyelesaian dalam menghadapi situasi yang “agak panas” berkaitan isu muzakarah dan pertemuan beberapa pemimpin PAS dengan pihak UMNO baru-baru ini.


Sudah semestinya sebagai ahli sebuah Gerakan ISLAM merangkap TENTERA ALLAH dan HAMBANYA, kita hanya akan patuh mengikut garis panduan serta saranan ALLAH DAN RASULNYA dalam menyelesaikan sebarang permasalahan, juga merujuk panduan HUKUM-HAKAM AGAMA dan ETIKA-ETIKA ISLAM dalam berhadapan dengan sebarang situasi dan cabaran.

KITA SAMA SEKALI TIDAK AKAN REDHA BERPANDUKAN NAFSU,ATAUPUN AKAL SEMATA-MATA YANG TERPISAH DARI PANDUAN WAHYU,APATAH LAGI GARIS PANDUAN ANJURAN PIHAK-PIHAK YANG LANGSUNG TIDAK ADA KAITANNYA DENGAN SUMBER HUKUM ISLAM.

Berikut ialah panduan secara ringkas yang dapat kita ambil dari ayat tersebut :

1. ADALAH MENJADI TABIAT MUSUH –MUSUH ISLAM KHASNYA GOLONGAN MUNAFIQIN UNTUK MELANCARKAN PERANG SARAF DAN MENYEBARKAN BERITA-BERITA YANG DAPAT MEMPORAK PERANDAKAN SAF PERJUANGAN ISLAM.

Allah Taala berfirman :

“Dan apabila datang pada mereka(yakni golongan munafiqin) berita tentang keamanan atau kecemasan, mereka akan menyebarkannya…”

Dr Wahbah Az-Zuhaili di dalam tafsir Al-Munir menyebutkan bahawa Asbab Nuzul bagi ayat tersebut adalah peristiwa di mana Rasulullah S.A.W pada suatu ketika telah mengasingkan diri dari isteri-isteri baginda, maka hebohlah dikalangan orang-orang Islam pada ketika itu dengan berita yang tersebar mengatakan bahawa Rasulullah S.A.W telah menceraikan kesemua isteri Baginda.

Apabila Saidina Umar R.A melihat situasi “heboh” dan “kecoh” tersebut,beliau sebagai seorang yang mengetahui hal yang sebenar, dan antara sahabat yang paling memahami dan hampir dengan Rasulullah telah melaungkan di dalam masjid dengan setinggi-tinggi suara beliau bahawasanya Baginda tidak menceraikan walau seorang pun dari isteri-isteri Baginda.

Menurut Imam As-Sayuthi Rahimahullah, berita dan cakap-cakap bahawa Rasulullah telah menceraikan isteri-isteri Baginda telah tersebar dikalangan muslimin pada ketika itu melalui dua golongan. Yang pertama, golongan munafiqin. Yang keduanya, sebahagian orang Islam yang lemah iman mereka. Menurut beliau lagi,dengan tersebarnya berita tersebut maka menjadi lemahlah semangat orang-orang beriman dan telah melukakan hati Baginda S.A.W.

Sememangnya, sekiranya dilihat pada kisah tersebut kita akan mendapati perkaitan yang amat rapat dengan situasi yang kita hadapi pada hari ini. Dengan berlakunya pertemuan sebahagian wakil PAS dengan pihak UMNO baru-baru ini, maka golongan pertama yang beria-ia menyebarkan pelbagai “SPEKULASI” tentang pertemuan tersebut ialah pihak UMNO BN melalui juak-juak akhbar mereka dengan bertujuan untuk memporak perandakan dan melemahkan semangat para ahli PAS. Ini tidaklah menghairankan kita.

Golongan kedua pula yang turut menyumbangkan kepada tersebarnya pelbagai spekulasi tentang pertemuan tersebut ialah ahli-ahli dan penyokong PAS sendiri melalui “KESIMPULAN SENDIRI MASING-MASING” yang terlintas dalam minda mereka setelah mengetahui tentang berlakunya pertemuan tersebut dan juga dari maklumat-maklumat “separuh benar” tentang kandungan dan perjalanan pertemuan tersebut. Penyokong-penyokong ini sememangnya berniat baik untuk memelihara keharmonian parti dan prestasi jemaah,namun ianya tetap tidak tepat dan lebih merumitkan keadaan kerana kita perlu kembali kepada proses penyelesaian yang telah ditetapkan oleh Allah di dalam ayat di atas- iaitu:

2. MERUJUK KEPADA ALLAH DAN RASUL ,JUGA PARA KEPIMPINAN DAN ULAMAK YANG LAYAK UNTUK BERCAKAP DAN MEMBERI PENJELASAN SEBENAR TENTANG ISU YANG BERLAKU

Firman Allah Taala :

“Dan kalaulah mereka – mereka itu merujuk terlebih dahulu dan menyerahkan kepada Allah dan RasulNya juga kepada para Ulil Amri dari kalangan mereka, tentulah perkara tersebut dapat diketahui melalui orang-orang yang layak untuk membuat keputusan mengenainya dari kalangan mereka....”

Dari sini jelas bahawa yang sepatutnya dilakukan bukanlah kita cepat-cepat melatah ataupun turut memanaskan lagi suasana dengan kenyataan-kenyataan peribadi mahupun kesimpulan-kesimpulan sendiri yang dangkal tentang isu ini. Sepatutnya kita menyerahkan kepada para Kepimpinan khususnya Majlis Syura,Tuan Guru Presiden dan Tuan Guru Mursyidul Am untuk membuat penjelasan dan keputusan mengenai perkara ini. Bukannya dengan cara mendengar atau mengambil maklumat dari sumber luar parti yang diragui kesahihannya seperti Utusan Malaysia, apatah lagi dari Pak Lah atau Khir Toyo!

Sepatutnya,sekarang ini kita semua:

A.TIDAK... melatah dan turut sama “kecoh”.Memang terkejut dan timbul banyak persoalan ,tapi sekurang-kurangnya kita tidak turut sama meng”kecohkan” lagi suasana.

B. TIDAK...mendengar dan mempercayai sumber-sumber luar selain daripada sumber yang benar-benar diiktiraf oleh PARTI. Tentulah sumber utama kita ialah Tuan Presiden sendiri dan para kepimpinan lain yang layak untuk bercakap tentang isu ini. Amatlah tidak wajar untuk kita lebih mempercayai kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak musuh tentang butiran dan tujuan pertemuan tersebut berbanding penjelasan dari saudara kita sendiri yang sudah lama berjuang dan bersusah payah mengharungi perjuangan ini bersama-sama.

C. TIDAK...melanggar adab-adab dan etika berjemaah dalam memberikan pandangan dan komentar terhadap kepimpinan tentang isu ini. Berilah pandangan atau kegusaran di hati dengan cara dan adab Islam yang rasanya tak perlu lagi dijelaskan di sini. Bukannya dengan menyerang peribadi, luahkan perasaan sesuka hati dan lain-lain tindakan yang tak sepatutnya dilakukan oleh kita sesama saudara.

Kita semestinya pernah tidak bersetuju dengan ibu dan bapa kita, tapi rasanya kita masih boleh membezakan antara tanggungjawab menegur dan pada masa yang sama menunaikan tanggungjawab untuk menghormati mereka. Begitulah juga dengan para Kepimpinan,Para Ulamak,dan orang-orang yang memang telah lama berkhidmat dan terbukti jasanya kepada perjuangan ini.

D. HENDAKLAH...menghormati dan patuh pada keputusan dan arahan yang dikeluarkan PARTi setelah segala perbincangan dan penjelasan disegenap peringkat ahli dan kepimpinan tentang isu ini selesai.

Pada ketika inilah kita perlu mengorbankan pandangan dan kepentingan peribadi,untuk kita melaksanakan arahan dan keputusan jemaah. Percaya kepada Kepimpinan itu ada BARAKAHNYA dan Jemaah itu penuh dengan RAHMAT dariNya!

3. PERINGATAN DAN PENEGASAN PENTING OLEH ALLAH TAALA PADA PENGHUJUNG AYAT INI IALAH: HANYA MEREKA-MEREKA YANG MENDAPAT RAHMAT ALLAH TAALA SAHAJALAH YANG AKAN TERSELAMAT DALAM SITUASI SEPERTI INI DARI TERPENGARUH DAN TERTEWAS DENGAN DAKYAH MUSUH SEKALIGUS MENGIKUT TIPUDAYA SYAITAN DAN TERGELINCIR DARI MATLAMAT PERJUANGAN.

Firman Allah Taala :

“Dan jika tidaklah kerana limpah kurnia Allah dan belas kasihan RAHMATNya kepada kamu, tentulah kamu (terbabas) menurut syaitan ,kecuali sedikit sahaja dari kalangan kamu(iaitu orang-orang yang teguh imannya dan luas ilmunya di antara kamu).”

Saudara seperjuanganku sekalian, yang akan menyelamatkan Jemaah kita ini, dan yang akan kembali memantapkan keutuhan kesatuan kita ini, dan memelihara kita dari segala perancangan musuh,, HANYALAH RAHMAT DAN BIMBINGAN DARI ALLAH TAALA.

Marilah kita sama-sama berdoa memohon rahmat dariNya, dan memperbanyakkan amalan-amalan yang akan mendatangkan rahmat dari Allah serta menjauhi perkara-perkara yang akan menjauhkan kita dari rahmatnya.

Antara perkara dan amalan yang akan mendatangkan Rahmat Allah dan Kasih Allah sepertimana yang telah disebutkan di dalam Al-Quran dan As Sunnah:

A.Banyakkan berselawat. Sabda Baginda : “Barangsiapa yang berselawat ke atasku sekali maka Allah akan berselawat(memberi rahmat) kepadanya sepuluh kali”

B. Kukuhkan UKHUWWAH sesama jemaah.

Firman Allah di dalam Surah As-Soff : “Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agamaNya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.”

C. Sentiasa memastikan gerakerja AMAR MAKRUF NAHI MUNGKAR parti terus berjalan dan terlaksana.

Firman Allah di dalam Surah At – Taubah ayat 71 : “Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada berbuat kejahatan dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”

Dan antara perkara-perkara yang menjauhkan seseorang dan perkumpulan itu dari rahmat Allah pula:

A. Setiap individu itu mementingkan diri dan berasa ego dengan pendapat dirinya sendiri yang mana akan menimbulkan perpecahan di dalam jemaah.

B. PERSENGKETAAN DAN PERBALAHAN SESAMA AHLI JEMAAH,HASAD DENGKI,USAHA JATUH MENJATUHKAN DAN MEMBURUK-BURUKKAN MARUAH SESAMA SENDIRI. Sabda Baginda S.A.W : “Berjemaah itu (membawa) RAHMAT, dan perpecahan itu (akan mengundang ) azab”

C. MENGAMBIL JALAN PENYELASAIAN YANG TIDAK BERLANDASKAN ISLAM DAN MENYIMPANG DARI HUKUM-HAKAMNYA LALU MEMBAWA KEPADA PERPECAHAN YANG AKAN MENJAUHKAN KITA DARI RAHMAT ALLAH.

Firman Allah S.W.T : Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertakwa.

Semoga Allah Taala akan memberikan kekuatan dan bimbingan kepada para pemimpin kita untuk terus menerajui perjuangan ISLAM yang mulia ini, dan terus mengukuhkan saf perjuangan ahli-ahli di bawah kepimpinan para Ulamak dan Solehin.

Salam Ukhuwwah,Salam Perjuangan,Salam Hormat.

ALLAHUAKBAR!!!ALLAHUAKBAR!!!ALLAHUAKBAR!!!

No comments

Powered by Blogger.