Nadal hampiri status No. 1 dunia


NADAL meraikan kejayaannya muncul juara Piala Rogers kelmarin.


TORONTO - Bintang Sepanyol, Rafael Nadal semakin menghampiri status selaku pemain No. 1 dunia selepas menjuarai Kejohanan Tenis Piala Rogers kelmarin.

Pemain No. 2 dunia itu muncul juara selepas menewaskan pemain Jerman, Nicolas Kiefer 6-3, 6-2 pada perlawanan akhir.

Ia merupakan gelaran kelima berturut-turut Nadal termasuk kejayaannya pada Terbuka Perancis dan Wimbledon, sekali gus merekodkan kemenangan ke-29 berturut-turut.

Lebih membanggakan kejayaan ke-30 dalam kariernya itu membolehkan Nadal berpeluang memintas kedudukan pemain No. 1 dunia, Roger Federer pada Kejohanan Cincin- nati Masters minggu depan.

Nadal kini hanya ketinggalan 300 mata di belakang Federer dan jika dia menjuarai Cincinnati Masters dan Federer tewas pada peringkat separuh akhir, pemain tersebut akan menamatkan penguasaan Federer yang mengungguli carta teratas sejak Februari 2004.

Untuk rekod, Nadal bergelar pemain No. 2 dunia sejak Julai 2005.

"Semua pemain mahu menjadi pemain No. 1 dunia. Saya juga begitu, tetapi saya masih menjadi pemain No. 2 dunia.

"Saya gembira menjadi pemain No. 2 dunia. Dengan kejayaan yang saya raih, saya tetap gembira jika saya pemain No. 1 dunia atau No. 2 dunia," kata Nadal.

Sementara itu, Federer mengakui, dia tidak begitu tertekan apabila Nadal semakin hampir memintas kedudukannya.

"Saya masih baik dan sentiasa fokus. Saya tidak terlalu memberi tumpuan kepada Rafa.

"Sudah tentu dia menampilkan aksi hebat dengan kejayaannya sebelum ini," kata Federer. - Agensi

No comments

Powered by Blogger.