Baik Hatinya Tajol Rosli, Nak Bagi MB Kepada PAS

Tajol Rosli Menawarkan Kerjasama Dengan Pas Bentuk Kerajaan Bersama

Di IPOH, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali menawarkan kerjasama dengan PAS untuk membentuk kerajaan negeri Perak berikutan sikap negatif DAP terhadap PAS selain sebagai permulaan ke arah penyatuan kedua-dua buah parti itu.

Beliau berkata tawaran itu juga adalah bagi menyahut saranan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat supaya UMNO dan PAS dibubarkan dengan menubuhkan sebuah parti baru berlandaskan Islam bagi menyatukan orang Melayu dan sebagai tempat berlindung kepada semua pihak termasuk bukan Islam.

“Umno Perak mahu memulakannya dengan langkah pertama ke arah pengabungan…ini langkah awal elak perpecahan Melayu dan bagi mewujudkan kestabilan politik serta kerajaan negeri Perak yang lebih kukuh,” katanya kepada pemberita di pejabat UMNO Perak di sini.

Beliau berkata cadangan Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan itu adalah baik dan Perak sebagai sebuah negeri bermasyarakat majmuk ia adalah tempat terbaik untuk menguji dasar pemerintahan hasil gabungan antara PAS dan UMNO berbanding Kelantan yang majoriti penduduknya berbangsa Melayu dan Islam.

Tajol Rosli berkata UMNO dengan 27 anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta seorang dari MCA sedia bekerjasama dengan PAS yang mempunyai enam ADUN bagi membentuk kerajaan negeri yang lebih kukuh berbanding kerajaan negeri Pakatan Rakyat (PR) dengan 31 ADUN sekarang.

Beliau berkata UMNO dan PAS boleh bekerjasama memerintah Perak terlebih dahulu dan menyerahkan kepada pucuk pimpinan kedua-dua parti untuk meneruskan perbincangan peringkat Presiden serta menubuhkan jawatankuasa ke arah pembubaran dan pembentukan sebuah parti baru.

Tajol Rosli berkata kerajaan negeri Perak yang dibentuk bersama oleh UMNO dan PAS Perak akan lebih stabil dan kukuh berbanding kerajaan PR sekarang yang agak lemah dengan anggota-anggota ADUN yang saling tidak mempercayai antara satu sama lain.

“UMNO Perak sanggup menerima Menteri Besar dari PAS…perbezaan antara DAP dan PAS adalah lebih jauh berbanding dengan PAS dan UMNO yang pernah bekerjasama pada zaman (Perdana Menteri) Tun Abdul Razak dahulu,” katanya.

Tajol Rosli berkata Menteri Besar Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin adalah seorang pemimpin yang baik tetapi menerajui sebuah kerajaan yang rapuh.

Kerajaan PR yang memerintah Perak dianggotai 18 ADUN DAP, 7 PKR dan 6 PAS.

Sementara itu, Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata DAP tidak sewajarnya meragui kredibiliti PAS semata-mata kerana PAS mengadakan “pertemuan biasa” dengan UMNO.

Mohammad Nizar yang juga Timbalan Pesuruhjaya II PAS Perak berkata PAS memberi komitmen akan terus bersama Pakatan Rakyat sama ada di peringkat negeri mahupun nasional.

“Sebenarnya tidak ada muzakarah (PAS-UMNO). Kalau kita lihat balik yang ada itu hanya satu perjumpaan biasa, satu temuramah iaitu muqabalah. Jadi tidak timbul persoalan muzakarah.

“Kita tidak bercantum dengan UMNO. Kalau bercantum dengan UMNO mungkin persoalan itu timbul tetapi tidak ada (percantuman dengan UMNO),” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Lembaga Air Perak (LAP).

Mohammad Nizar juga menolak tawaran UMNO Perak untuk bergabung dan bersama memerintah kerajaan negeri Perak kerana telah memberikan komitmen kepada DAP dan PKR untuk kekal dan bersama-sama memimpin negeri itu.

http://www.bernama.com.my

No comments

Powered by Blogger.