Scolari senarai pemain utama hadapi Pilihan Malaysia


FRANK LAMPARD (tengah) akan mengetuai jentera tengah Chelsea pada perlawanan persahabatan dengan Pilihan Malaysia di Stadium Shah Alam malam ini.


JURULATIH baru Chelsea, Luiz Felipe Scolari tidak menyangkabeliau akan kembali ke Malaysia buat kali kedua selepas melakukannya enam tahun lalu.

Kali pertama bekas jurulatih Portugal ini berkunjung ke Kuala Lumpur ketika mempersiapkan pasukan Brazil untuk bergelar juara Piala Dunia di Korea Selatan/Jepun 2002.

Scolari berkata, pengalaman itu mengajarnya untuk tidak berkata tidak dan berfikir secara lebih mendalam sebelum membuat sesatu keputusan.

"Selepas kunjungan pertama saya ke Malaysia, saya fikir tidak mahu lagi datang ke negara ini selepas memikirkan jarak dan tempoh perjalanan yang panjang serta meletihkan.

"Tetapi sebaliknya berlaku kerana hari ini (semalam) saya kembali ke negara ini meskipun bersama pasukan yang berlainan.

"Keadaan ini mengajar saya untuk tidak berkata 'tidak' sebelum membuat sesatu keputusan," kata Scolari pada sidang media di Hotel Place of Golden Horses kelmarin.

Bagi Chelsea, ini adalah kunjungan ketiga mereka selepas tahun 1999 dan 2003.

Ketika ditanya mengenai perlawanan menentang Pilihan Malaysia di Stadium Shah Alam hari ini, Scolari berkata, misinya cuma satu iaitu mengekalkan rekod bersih selepas menang di China dan Macau pada dua perlawanan pra-musim minggu lalu.

"Saya tidak pasti sama ada pasukan Malaysia membuat persiapan yang rapi atau sebaliknya, tetapi saya akan menurunkan skuad terbaik pada perlawanan itu.

"Saya anggap perlawanan ini penting kerana selain mahu mengekalkan momentum, saya juga akan menjadikan perlawanan ini untuk menguji kemampuan skuad kendalian saya.

"Selepas ini kami bakal berdepan perlawanan yang lebih sengit, Piala Railways di Moscow, Rusia sebelum aksi pertama Liga Perdana England menentang Portsmouth pada 17 Ogos ini," katanya.

No comments

Powered by Blogger.