Anwar sambut baik turun harga minyak, dakwa kerana desakan rakyat

PERMATANG PAUH: Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menggunakan kenaikan harga minyak sebagai antara isu utama kempennya dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh sejak Sabtu lalu menyambut baik pendirian kerajaan untuk menaikkan harga minyak dalam sehari dua ini.

Anwar yang bertanding untuk mendapatkan semula kerusi Permatang Pauh berkata, langkah itu adalah ekoran desakan pihaknya bahawa harga minyak mampu diturunkan.

Bagaimanapun kata bekas Timbalan Perdana Menteri itu, pihaknya mahu melihat ia dilaksanakan secara rasmi.

"Kita kena tunggu Umno punya janji, kita kena tengok dulu. Kita tak boleh pegang sehingga dia (kerajaan) tunaikan janji.

"Selama ini dia (kerajaan) kata tidak boleh, kita bagi bukti boleh. Kalau dia turunkan baik, bermakna kerana desakan rakyat," kata beliau ketika bercakap kepada pemberita selepas menemui pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri Penanti di sini pagi ini.

Ketika berkempen di sini malam tadi dan kelmarin, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan boleh menurunkan harga minyak dalam tempoh terdekat jika harga bahan bakar itu kekal pada AS$113 setong.

"Sehari dua ini, mungkin ada berita baik. Harga minyak boleh dikaji semula," kata Najib.

Najib yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata, tidak perlu menunggu Anwar untuk menjadi Perdana Menteri bagi menurunkan harga minyak, sebaliknya kerajaan juga boleh berbuat demikian jika harga minyak kekal pada paras itu.

Dalam kempennya, Anwar berkata, pihaknya akan menurukan harga minyak daripada RM2.70 kepada RM2 seliter jika memerintah.

Ia menjadi modal kempen beliau dalam setiap ceramah umum dan perdananya di sini.

Kata Anwar, kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) mengatakan bahawa pihaknya tidak perlu menunggu sehingga Pakatan Rakyat membentuk kerajaan.

"Kalau begitu bagus... mereka memahami penderitaan dan kekecewaan yang dialami orang ramai disebabkan kenaikan harga minyak," katanya.

1 comment

setia sejagat said...

Bukannyan saja-saja kerajaan nak naikkan harga minyak tetapi harga minyak dunia melambung terlalu tinggi. Subsidi diberikan arah lain dalam usaha mengadili hak rakyat secara adil. Itu aje. Kerajaan naikkan pun dalam keadaan terpaksa. Tak ada orang nak dirinya dibenci atau dimarahi. Pikirlah…. Kerajaan telah umum akan turun harga minyak pada 1 sept ini kerana harga minyak dunia telah turun. Bukannya atas desakan pakatan rakyat tetapi keperihtinan kerajaan terhadap rakyat. Kerajaan dah cuba buat yang terbaik demi rakyat. Jangan kita cuba memutar belitkan penyataan, ayat ataupun tindakan orang lain. Insaf la…….

Powered by Blogger.