Dari Pandangan Orang Melayu Islam Yang Menghadiri Forum Memeluk Islam

oleh Mohamad Radzwill Abdullah

Hari Sabtu lepas (9.8.08), Bar Council (Majlis Peguam) telah mengadakan sebuah forum bertajuk Forum Memeluk Islam. Forum ini telah mendapat perhatian beberapa NGOs Islam apabila perkara ini disensasikan oleh media terutamanya apabila seorang Menteri iaitu Datuk Zahid Hamidi memberi amaran agar forum ini dibatalkan.



Saya turut sama tertarik dengan perihal forum ini lalu menghadirkan diri ke Bar Council bukan sebagai seorang demontrator tetapi sebagai seorang pendengar di majlis tersebut.

Tiada yang sensitif

Saya dapati tiada satu pun perkara sensitif yang dibincangkan disitu. Malahan jika para demonstrasi itu turut sama naik dan mendengar dengan hormat, saya yakin mereka juga akan dapat mendengar dengan baik sehingga selesai majlis tersebut.

Saya takrifkan majlis ini sebagai sebuah majlis ilmu yang biasa diadakan di mana-mana majlis ilmu Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA). IPTA seringkali mengadakan forum, bengkel, majlis, debat antara agama ataupun debat antara mazhab-mazhab di dalam Islam sendiri. Sebagai seorang Islam, mencintai ilmu dan kebenaran sangatlah dituntut.

Forum ini berkisar pada konflik yang timbul antara seorang Islam dan seorang bukan Islam yang hidup bersama kemudian berpisah. Pada mulanya mereka diikat melalui kontrak perkahwinan mengikut undang-undang sivil. Namun apabila seorang daripanya memeluk Islam, lalu terdapatnya perseteruan antara mereka, siapakah yang layak membicarakan mereka? Mahkamah Sivil atau Mahkamah Syariah?

Untuk mendapatkan jawapan, seseorang perlu melihat Perkara 121 (1A) dan juga perlu dibaca bersama Jadual ke-9 Senarai Negeri Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 121 (1A) – Mahkamah-mahkamah yang disebut di dalam Klausa (1) (iaitu Mahkamah Tinggi) tidak mempunyai jurisdiksi terhadap apa-apa perkara yang membabitkan jurisdiksi Mahkamah Syariah.

Courts of Judicature Act 1964

Lalu apakah itu jurisdiksi-jurisdiksi Mahkamah Syariah?

Bidang kuasa (jurisdiksi) Mahkamah Sivil boleh didapati pada Akta Mahkamah 1964 (Courts of Judicature Act 1964). Namun Akta ini tidak meliputi Mahkamah Syariah (Perkara 121 (1A)).

Dimanakah jurisdiksi Mahkamah Syariah? Jadual ke-9, Senarai Negeri Butiran 1 tidak menyatakan secara jelas bahawa Mahkamah Syariah mempunyai kuasa membicarakan dan mengenakan hukuman seperti mana Akta Mahkamah 1964. Jadual ke-9, Senarai Negeri Butiran 1 hanya menyatakan Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa hanya ke atas orang yang menganut agama Islam, namun bidang kuasa apakah itu tidak pula dijelaskan.

Hak membuat undang-undang Islam kepada negeri:

Jadual ke-9 Senarai Negeri Butiran 1– (Negeri-negeri mempunyai kuasa) tidak termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya mengenai hukum Syarak dan undang-undang diri dan keluarga bagi orang yang menganut Islam, termasuk hukum Syarak yang berhubungan dengan perwarisan, berwasiat dan tidak berwasiat, pertunangan, perkahwinan, penceraian, mas kahwin, nafkah, pengangkatan, kesahtaarafan, penjagaan, alang, pecah milik dan amanah bukan khairat; Wakaf dan takrif serta pengawalseliaan amanah khairat dan agama, pelantikan pemegang amanah dan pemerbadanan orang berkenaan dengan derma kekal agama dan khairat, insitusi, amanah, khairat dan institusi khairat Islam yang beroperasi keseluruhannya di dalam Negeri; adat Melayu; zakat, Fitrah dan Baitulmal atau hasil agama Islam yang seumpamanya; masjid atau mana-mana tempat sembahyang awam untuk orang Islam, pewujudan dan penghukuman kesalahan yang dilakukan oleh orang menganut agama Islam terhadap perintah agama itu, kecuali berkenaan dengan perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan, keanggotaan, susunan dan tatacara mahkamah Syariah, yang hendaklah mempunyai bidang kuasa hanya ke atas orang yang menganut agama Islam dan hanya berkenaan dengan mana-mana perkara yang termasuk dalam perenggan ini, tetapi tidak mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan kesalahan kecuali setakat yang diberikan oleh undang-undang persekutuan; mengawal pengembangan doktrin dan kepercayaan di kalangan orang yang menganut agama Islam’ penentuan perkara mengenai hukum dan doktrin Syarak dan adat Melayu.

Hak membuat undang-undang Islam kepada Persekutuan tetapi tidak termasuk negeri:

Jadual ke-9, Senarai Persekutuan Butiran 6 (e) – Pemerintahan dan pentadbiran Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya termasuk hukum Syarak di dalamnya setakat yang sama sebagaimana yang diperuntukkan dalam Butiran 1 Senarai Negeri dan berkenaan dengan Wilayah Persekutuan Labuan, undang-undang dan adat anak negeri setakat yang sama sebagaimana yang diperuntukkan dalam Butiran 13 Tambahan kepada Senatai Negeri bagi Negeri Sabah dan Sarawak.

Butiran 6 (e) Senarai Persekutuan berbunyi sama seperti Senarai Negeri butiran 1 iaitu dibolehkan membuat undang-undang Syarak bagi penganut agama Islam namun butiran 6 (e) pula didapati bertentangan dengan Butiran 4 Senarai Persekutuan.

Butiran 4 Senarai Persekutuan – Undang-undang dan tatacara sivil dan jenayah dan pentadbiran keadilan, termasuk – (k) Penentuan hukum Syarak, dan undang-undang diri yang lain bagi maksud undang-undang persekutuan.

Undang-undang Syariah boleh dikuatkuasakan kepada bukan Islam?

Maksudnya di negeri-negeri, negeri hanya berkuasa menguatkuasakan undang-undang Syariah bagi orang Islam sahaja namun di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, Persekutuan boleh menguatkuasakan undang-undang Syariah tidak kira kepada orang Islam dan bukan Islam (Butiran 4 (k) Senarai Persekutuan) namun ianya didapati bertentangan pula dengan Butiran 6 (e) Senarai Persekutuan iaitu Persekutuan tidak dibenarkan menguatkuasakan undang-undang Syarak kepada bukan Islam.

Namun ianya jelas lagi nyata bahawa mahkamah Syariah hanya mempunyai bidang kuasa ke atas orang yang menganut Islam dan tidak mempunyai bidang kuasa membicarakan dan menjatuhkan hukuman ke atas bukan Islam.

Oleh itu adalah tidak sah jika seseorang bukan Islam mahu dibicarakan di Mahkamah Syariah. Dan tidak sah juga apabila seorang Islam mahu dibicarakan di mahkamah sivil.

Bagaimana jika seseorang yang mempunyai 1 masalah yang sama namun berlainan agama ingin dibicarakan? Contohnya hak penjagaan anak bagi si bapa yang bukan Islam dan si ibu yang Islam? Si ibu tidak dibenarkan membawa isu tersebut ke mahkamah sivil mengikut perlembagaan. Begitu juga si bapa tidak dibenarkan membawa isu tersebut ke mahkamah syariah mengikut perlembagaan.

Sebelum kewujudan Perkara 121 (1A) pasangan suami isteri Islam boleh membawa apa-apa kes sama ada di Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil. Namun pasangan suami isteri bukan Islam hanya boleh membawa kes mereka di mahkamah sivil tidak di mahkamah syariah. Jika terjadinya salah seorang pasangan bukan Islam memeluk Islam, mereka berdua boleh membawa kes tersebut ke mahkamah sivil. Namun dengan kewujudan Perkara 121 (1A) walaupun kedua-dua mereka setuju membawa apa-apa kes ke mahkamah Syariah namun Perlembagaan tidak membenarkan.

Maka Forum Memeluk Islam Bar Council 9.8.08 diadakan adalah untuk membincangkan bagaimana 2 orang yang terpisah melalui mahkamah boleh dibicarakan dibawah satu bumbung (satu mahkamah).

Contohi Singapura

Saya suka mengambil pakai undang-undang Singapura. Singapura juga mempunyai Mahkamah Syariah seperti mana juga Malaysia, namun mereka tidak pernah mempunyai sebarang pertikaian yang timbul.

Ini kerana undang-undang negara berkenaan menegaskan bagi seseorang bukan Islam yang ingin memeluk Islam mereka harus bercerai dahulu dengan pasangannya yang bukan Islam di mahkamah sivil, menyelesaikan masalah penceraian, harta dan penjagaan anak di mahkamah sivil sebelum dia memeluk islam. Begitu juga bagi seseorang Islam yang ingin memeluk agama bukan Islam, dia harus bercerai dahulu dengan pasangannya di mahkamah syariah, menyelesaikan masalah penceraian, harta dan penjagaan anak di mahkamah syariah sebelum dia memeluk agama selain Islam.

Sekian.

http://al-ahkam.net/home/modules.php?op=modload&name=News&file=article&sid=90089


No comments

Powered by Blogger.