Guna ISA atau Akta Hasutan terhadap Majlis Peguam

KUALA LUMPUR 10 Ogos - Kerajaan diminta bertegas menggunakan sepenuhnya Akta Hasutan dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ke atas Majlis Peguam yang menganjurkan forum bertajuk Memeluk Islam sehingga mencetuskan kekecohan.

Pemimpin politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dihubungi di sini hari ini bersetuju agar kedua-dua akta itu digunakan kerana sikap berlembut dan toleransi yang diambil kerajaan dalam isu sensitif keagamaan dan perkauman boleh membahayakan perpaduan kaum di negara ini.

Secara umum mereka berpendapat, sikap yang ditunjukkan oleh Majlis Peguam adalah ekstrem kerana badan guaman itu menolak permintaan banyak pihak termasuk daripada kerajaan sendiri agar forum tersebut dibatalkan.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, ISA perlu digunakan sebelum keadaan menjadi terlalu lambat untuk diperbaiki.

"Kalau terjadi apa-apa hal (kekecohan), siapa yang hendak bertanggungjawab,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Beliau mengulas kenyataan Majlis Peguam yang melihat kehadiran lebih 100 orang pada Forum Memeluk Islam di ibu kota semalam sebagai satu kejayaan dan mahu mengadakan lagi forum yang sama pada masa hadapan.

Mohd. Ali menjelaskan, tindakan Majlis Peguam semalam telah mencampur aduk soal berkaitan Perlembagaan dengan ajaran Islam dengan niat untuk memperlihatkan agama itu sebagai agama yang tidak adil.

Tambahnya, sikap Majlis Peguam itu memperlihatkan ciri-ciri anti-Islam.

"Jika tidak dikawal, ia boleh mengundang rasa tidak puas hati dalam masyarakat pelbagai kaum di negara ini," katanya.

Ketua Dewan Pemuda Pas, Salahuddin Ayub pula berkata, saluran perundangan seperti Akta Hasutan boleh digunakan jika Majlis Peguam masih berdegil dan mahu meneruskan forum yang dilihat boleh membangkitkan kemarahan.

"Undang-undang sedia ada seperti Akta Hasutan atau yang berkaitan boleh digunakan,'' katanya.

Beliau bagaimanapun menolak penggunaan ISA bagi menangani sebarang tindakan tidak berhemah seperti yang ditunjukkan oleh Majlis Peguam.

Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian juga menyarankan Majlis Peguam agar bertemu dengan Pas jika mahu mendapatkan penjelasan lanjut berhubung isu keislaman.

Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Tan Sri Abu Zahar Nika Ujang berkata, Majlis Peguam masa kini bertindak sebagai satu badan yang degil, angkuh dan penuh ego.

"Ini satu petanda yang tidak baik,'' katanya.

Beliau berkata, tindakan Presiden Majlis Peguam, Datuk S. Ambiga meneruskan forum itu sebenarnya membelakangkan pandangan ahli-ahli Majlis Peguam sendiri yang terdiri daripada 40 peratus peguam Melayu dan Islam.

Menurut Abu Zahar, tindakan tegas perlu diambil untuk memastikan Majlis Peguam tidak lagi memainkan sentimen orang Melayu dan Islam di negara ini.

"Kalau perlu diambil tindakan di bawah Akta Hasutan, teruskan,'' katanya.

"Saya juga seorang ahli Majlis Peguam. Saya mendapat tahu ada juga peguam bukan Islam yang kurang bersetuju dengan tindakan Ambiga itu,'' katanya.

Ketua Penerangan Puteri UMNO, Datuk Shahaniza Shamsuddin berkata, perpaduan di Malaysia tidak boleh dibiarkan musnah hanya disebabkan wujud satu kumpulan kecil yang merasakan diri mereka jaguh dalam memperjuangkan kebebasan bersuara.

"Kerajaan harus bertindak tegas untuk memastikan kepentingan majoriti penduduk terbela,'' katanya.

Sementara itu, Pengerusi Sekretariat Pembelaan Rakyat, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, tindakan berlembut terhadap pihak-pihak yang membangkitkan sentimen berbahaya akan hanya merugikan negara.

Kata beliau, undang-undang sedia ada seperti ISA dan Akta Hasutan bertujuan untuk mencegah perkara yang membahayakan masyarakat.

"Justeru, ia hendaklah digunakan tanpa rasa was-was apabila tiba masanya," ujar beliau.

Forum Memeluk Islam yang diadakan di bangunan Majlis Peguam di sini semalam terpaksa dihentikan pada pukul 10 pagi, iaitu tiga jam lebih lebih awal daripada yang dirancang, selepas polis menasihatkan Majlis Peguam agar berbuat demikian atas faktor keselamatan.

Akhir Jun lalu, Majlis Peguam turut menganjurkan satu forum sensitif yang membincangkan mengenai hak-hak keistimewaan orang Melayu. utusan

No comments

Powered by Blogger.