Jangan cabar kerajaan – Syed Hamid
KOTA TINGGI 10 Ogos – Sebarang ketegangan ataupun insiden tidak akan timbul sekiranya Majlis Peguam mendengar nasihat kerajaan supaya menghentikan penganjuran forum itu lebih awal.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, perbincangan secara terbuka mengenai keagamaan tidak berkesudahan dan seterusnya akan memecahbelahkan masyarakat dan menaikkan sensitiviti rakyat.
“Ia tiada noktah. Kalau hari ini Majlis Peguam buat forum peluk Islam, mungkin nanti kumpulan Islam pula buat forum pasal rumah ibadat dan agama lain.
“Majlis Peguam jangan terus mencabar kerajaan dan kita kena hormat sejarah dan perlembagaan negara,” katanya kepada pemberita pada mesyuarat UMNO Cawangan Sungai Sembilang di sini, hari ini.
Mengenai kejadian bom petrol dilontar ke rumah Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil di Jalan Setiakasih 1, Bukit Damansara, semalam, Syed Hamid menganggap kejadian itu sebagai tindakan baru ekoran tidak puas hati dengan penganjuran Forum Memeluk Islam oleh Majlis Peguam.
Rumah itu sebelum ini pernah dihuni oleh keluarga Presiden Majlis Peguam, Datuk Ambiga Sreenevasan sebelum dijual kepada Shahrizat.
‘‘Ini perkembangan yang tidak sihat sebab itu kita sudah nasihat dan bagi kata dua kepada Majlis Peguam supaya tidak meneruskan forum itu,” katanya.
– Bernama
No comments
Post a Comment