Najib bidas Majlis Peguam

KUALA LUMPUR: Tindakan Majlis Peguam yang berdegil meneruskan forum 'Memeluk Islam' kelmarin menjadi punca pelbagai pihak tampil memberi reaksi yang boleh menggugat dan menjejaskan kestabilan negara, kata Datuk Seri Najib Razak.

Timbalan Perdana Menteri berkata, forum dianjurkan secara terbuka itu memang sensitif dan kerajaan sudah menjangka reaksi sedemikian daripada pelbagai kumpulan kerana keengganan Majlis Peguam mendengar nasihat supaya ia dibatalkan.

"Itulah saya dah kata, jangan buat secara terbuka, kalau buat juga tentu akan berlaku reaksi daripada kumpulan lain," katanya selepas merasmikan Pameran dan Konvensyen Hartanah Bumiputera anjuran Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) 2008 di sini, semalam.


Beliau mengulas mengenai forum 'Memeluk Islam' yang mencetuskan kontroversi apabila pelbagai pihak mengadakan demonstrasi membantahnya di luar pejabat Majlis Peguam kelmarin.

Forum yang bermula pada jam 9 pagi itu terpaksa dihentikan pada jam 10 pagi, iaitu tiga jam lebih awal daripada dijadualkan, selepas dinasihatkan polis berikutan ancaman keselamatan daripada pihak yang tidak berpuas hati ia diadakan.

Kira-kira 1,000 orang daripada 29 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik termasuk Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengadakan demonstrasi di depan bangunan Majlis Peguam mendesak forum itu dihentikan segera.

Ditanya adakah kerajaan akan mengambil tindakan terhadap Majlis Peguam kerana menganjurkan forum itu, Najib berkata, perkara berkenaan terserah kepada polis.

Timbalan Perdana Menteri mengingatkan semua pihak supaya tidak mempertikai atau cuba merungkai perkara asas yang sudah dipersetujui bersama oleh semua kaum di negara ini, terutama apa yang termaktub dalam Perlembagaan.

"Kalau hendak dirungkai balik, akan mencetuskan perbalahan yang boleh menggugat kestabilan dan keamanan dalam negara kita," katanya.

Najib berkata, masyarakat berbilang kaum di negara ini sudah pun dapat hidup dengan rukun, aman dan damai selama ini kerana masing-masing mengamalkan toleransi, menghormati sensitiviti kaum serta berpandukan Perlembagaan yang sudah dipersetujui bersama.

"Maka adalah tidak wajar untuk mempertikaikan perkara yang sudah dipersetujui itu kerana ia boleh menimbulkan timbal balas serta reaksi daripada kumpulan lain," katanya. http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Monday/BeritaUtama/20080811000658/Article/

mana UMNO???

No comments

Powered by Blogger.