Umno dalam zon bahaya

KOTA BHARU: Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan amalan rasuah politik pada pemilihan peringkat cawangan yang berlangsung sejak 17 Julai lalu, menyebabkan Umno kini dalam zon bahaya kerana ia menghakis boleh keyakinan rakyat.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Peraturan dan Perlembagaan Umno, berkata jika amalan itu tidak dibendung, persepsi rakyat terhadap Umno akan menjadi buruk, sekali gus menyebabkan parti berdepan kesukaran menghadapi pilihan raya umum akan datang.

"Kalau begini selama-lamanya, tak lama lagilah (sokongan rakyat terhadap Umno terhakis)... saya antara paling lantang bercakap, bukan nak menyalahkan sesiapa, tetapi ini (rasuah politik) perlu dipandang serius.

"Saya anggap kita berada dalam zon bahaya dan kalau perlakuan ini tidak diperbetulkan, bagaimana nak menghadapi rakyat pada pilihan raya umum akan datang," katanya selepas menyampaikan taklimat tata etika pemilihan parti kepada pemimpin Umno negeri, di sini semalam.

Muhyiddin berkata, berbanding pemilihan sebelum ini yang aduan salah laku dilaporkan ke Lembaga Disiplin selepas pemilihan, keadaan sekarang serius apabila banyak aduan dibuat ketika pemilihan peringkat cawangan masih berlangsung.

"Masalahnya, isu ini bukan hanya dilihat oleh ahli parti, malah oleh orang di luar Umno, khususnya rakyat dan menjadi perkara yang tidak baik kalau pada pandangan masyarakat bahawa rasuah politik sinonim dengan Umno.

"Bila wujud persepsi sebegini, pandangan masyarakat terhadap Umno dan kepemimpinan semakin menurun dan akhirnya apabila berdepan dengan rakyat pada pilihan raya akan datang, mereka tidak lagi menyokong kita," katanya.

Beliau menyarankan, ahli Umno peringkat bawah atau pemimpin tertinggi diterapkan dengan sahsiah diri yang tinggi, prihatin serta melihat rasuah politik sebagai amalan jijik dan bertentangan undang-undang serta agama.

"Kalau ikut laporan tak rasmi, nampaknya memang begitu (rasuah politik semakin berleluasa), lebih-lebih lagi di negeri yang kalah (pilihan raya umum lalu), perebutan nampaknya sengit dan saya dengar beberapa amalan bercanggah dengan peraturan dilakukan,” katanya.

Beliau mengakui, keupayaan Lembaga Disiplin Umno menangani semua aduan peringkat cawangan sehingga kini terbatas, khususnya aspek pemantauan dan penyiasatan yang pastinya mengambil masa yang lama untuk diselesaikan.

Sehubungan itu, istilah politik wang yang digunakan sebelum ini digantikan rasuah politik bagi membolehkan Badan Pencegah Rasuah (BPR) mengambil tindakan terhadap salah laku yang berkaitan dengan Akta Pencegahan Rasuah.

"Kalau ada perilaku yang boleh dikaitkan dengan Akta Pencegahan Rasuah walaupun dalam urusan parti, BPR boleh mengambil tindakan dan ini mungkin tidak disenangi beberapa pihak, tetapi bagaimana kita nak bendung masalah ini.

"Lembaga Disiplin boleh mengambil tindakan, tetapi keupayaannya terbatas. Bagaimana proses penilaian dan penyiasatan yang tentu ambil masa lama. Sebab itu masalah ini perlu dibendung secara bersama," katanya.

No comments

Powered by Blogger.