Siapa Yang Pukul Wartawan?

Siapa Yang Pukul Wartawan?

Loh Hoay Hoon (no kp 8301260-07-5490), seorang jurugambar harian Guang Ming Daily dilaporkan diserang oleh sekumpulan lelaki selepas ceramah Anwar Ibrahim di Seberang Jaya, Pulau Pinang pada malam 4 Ogos 2008. Loh Hoay Hoon didakwa dicekik, dipukul di bahagian kepala dan ditendang di kawasan tempat letak kereta. Susulan daripada kejadian tersebut, Persatuan Wartawan Foto Cina Malaysia (MCPA) bercadang memulaukan semua program PKR sebagai membantah tindakan petugas parti itu. MCPA menyatakan bahawa ini menunjukkan PKR gagal mengawal petugas-petugasnya walaupun aduan kekasaran terhadap pekerja media pernah dibuat sebelum ini. MCPA pernah mengadu kekasaran yang sama ketika konsert Carburetor Dung di Stadium Kelana Jaya pada 6 Julai 2008.

Apakah tindakan yang dilakukan ini sebagai satu tanda amaran awal kepada mana mana wartawan atau jentera parti BN agar jangan menghampiri langsung ceramah yang dibuat oleh PKR? Situasi di Permatang Pauh nampaknya akan sama seperti Lunas pada tahun 2000, di mana provokasi dan tindakan agresif menjadi senjata utama untuk demoralise jentera jentera BN terutamanya yang akan datang secara beramai ramai dari luar Pulau Pinang.

Dulu di Lunas, ketika lori lori Carlberg melalui jalan di Naga Lilit, Lunas, penyokong PKR bersorak memperli calon BN. Kali ini apakah tindakan yang sama akan dibuat setelah syarikat tersebut bersama Kerajaan PKR Selangor menaja Chelsea di Stadium Shah Alam pada 29 Julai lepas?

AZRINIZAM IBRAHIM

Presiden Gabungan Pemimpin Mahasiswa Malaysia (GPMM)

http://anginperubahan.blogspot.com

Walaupun Siasatan Belum Dilakukan Tetapi Pihak PKR Dah Memohon Maaf Secara Terbuka.

.

Jurugambar dikasari selepas ceramah Anwar, PKR mohon maaf

PULAU PINANG: Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini memohon maaf kepada media berhubung kejadian seorang jurugambar wanita akhbar Guang Ming Daily dikasari selepas membuat liputan ceramah perdana parti itu di tapak ekspo Seberang Jaya, dekat sini malam Ahad lepas.

Setiausaha Badan Perhubungan PKR Pulau Pinang, Abdul Malik Abdul Kassim berkata, perkara itu sepatutnya tidak berlaku dan PKR kesal dengan kejadian itu.

“Saya bagi pihak parti memohon maaf kepada pihak media terutama jurugambar berkenaan. PKR akan siasat perkara ini secepat mungkin dan jika yang terlibat itu adalah anggota parti, kita akan mengambil tindakan iaitu memecat mereka daripada parti.

“Saya dan beberapa Exco kerajaan negeri akan pergi melawat jurugambar berkenaan hari ini bagi memohon maaf secara peribadi bagi pihak parti dan kerajaan negeri,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.40 malam itu, Loh Hoay Hoon, 25, mengalami bengkak di belakang kepala setelah dipukul ketika hendak meninggalkan tapak pesta itu sebaik sahaja selesai membuat liputan majlis ceramah yang dihadiri Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Loh kemudiannya mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Seberang Jaya sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Seberang Jaya, pada malam itu.
Abdul Malik berkata, pihaknya akan memastikan perkara seperti itu tidak berulang.

“Untuk memastikan keadaan itu tidak berulang, pihak media akan disediakan tempat,” katanya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, ACP Dr. Mohamed Shah Hussin Shah ketika dihubungi berkata polis akan mengambil keterangan daripada jurugambar itu bagi membantu siasatan kes itu. BERNAMA

Mstar

No comments

Powered by Blogger.