adakah muhyidin akan sembah derhaka untuk menolong najib?

Kenyataan Zaid berniat jahat: Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Cadangan meminta Yang di-Pertuan Agong tidak melantik Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sebagai Perdana Menteri baru, adalah tidak bertanggungjawab dan berniat jahat, kata Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu, berkata cadangan berkenaan jelas mahu menimbulkan kegelisahan di kalangan ahli Umno khasnya dan rakyat Malaysia amnya.

Muhyiddin mengulas kenyataan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim, meminta Yang di-Pertuan Agong melantik Perdana Menteri baru dari kalangan ahli Parlimen yang boleh diterima rakyat.

Berucap pada satu majlis semalam, Zaid berpendapat pelantikan bakal Presiden Umno itu sebagai Perdana Menteri akan memecah belahkan rakyat negara ini.

Muhyiddin berkata, kenyataan Zaid itu langsung tidak menyumbang untuk menyatupadukan rakyat negara ini dan jelas mencerminkan sikap sebenar Zaid yang 'menangguk di air keruh' dan 'gunting dalam lipatan'.

"Saya juga dengan sekeras-kerasnya menafikan dakwaan Zaid kononnya pemilihan Perdana Menteri menjadi begitu genting sekarang ini.

"Proses peralihan kepimpinan Umno berjalan begitu lancar dan terbukti Najib mendapat kepercayaan besar bahagian Umno seluruh negara sebagai Presiden Umno yang baru," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Muhyiddin berkata, sudah termaktub dengan nyata dalam Perlembagaan Persekutuan di bawah Artikel 43(2)(a) bahawa Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada pendapat baginda mendapat kepercayaan sebilangan besar ahli Dewan itu, sebagai Perdana Menteri untuk mengetuai jemaah menteri.

"Dalam hubungan ini, Barisan Nasional (BN) adalah parti yang mempunyai jumlah kerusi terbesar di Dewan Rakyat di mana Umno sendiri mempunyai bilangan kerusi tertinggi di kalangan parti komponen BN," katanya.

Beliau berkata, pelantikan Najib sebagai Perdana Menteri akan dapat menyatu padukan rakyat negara ini yang sedang berhadapan kesukaran disebabkan oleh golongan yang tidak bertanggungjawab seperti Zaid.

"Sehubungan itu saya ingin menasihati orang ramai dan ahli Umno supaya tidak mudah terpengaruh dengan dakyah Zaid yang terang-terang berniat jahat, tidak bertanggungjawab dan meletakkan kepentingan dirinya mengatasi kepentingan negara," katanya.

Sementara itu, ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata kenyataan Zaid itu tiada kewarasan kerana sudah menjadi amalan bahawa sesiapa yang dipilih menjadi Presiden Umno akan menjadi Perdana Menteri dan proses peralihan kuasa antara Najib iaitu Timbalan Perdana Menteri dan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tetap akan berjalan lancar.

Mohd Shafie yang juga Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, berkata apa yang penting adalah kerajaan perlu terus fokus dalam pentadbiran dan pengurusan di samping memberi khidmat kepada rakyat.

"Itu pandangan dia (Zaid), dia mempunyai hak. Saya yakin permuafakatan yang ada antara perdana menteri dan timbalan perdana menteri akan berjalan lancar.

"Jangan dengar apa yang berlaku di luar, apa yang penting adalah memastikan supaya negara dapat ditadbir dengan baik supaya terlepas dari belenggu krisis ekonomi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Kraf Kebangsaan 2009 di Kompleks Kraf di sini, hari ini. - Bernama


dah mula nak tunjuk belang! kahkahkahkah.... pirah nak tunjuk baik!

No comments

Powered by Blogger.