Ahli PKR Dakwa Dua Pemimpin Terima Rasuah Ditegur

PULAU PINANG, 3 Mac (Bernama) -- Seorang Ahli Majlis Perbandaran Seberang Perai daripada Parti Keadilan Rakyat hari ini ditegur oleh Pengerusi PKR Pulau Pinang Datuk Zahrain Mohamed Hashim kerana membuat tuduhan terbuka kononnya terdapat dua pemimpin parti itu menerima rasuah daripada sebuah syarikat kuari di Seberang Perai.

Zahrain memberitahu Bernama bahawa Amizudin Ahmat telah membelakangkan parti kerana tidak merujuk terlebih dahulu dakwaan itu kepada beliau.

"Jangan suka buat tuduhan, kita kena siasat perkara itu dan jika berasas, parti sendiri akan melaporkan kepada pihak berkuasa.

"Ini tidak, tanpa merujuk kes itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, dia terus dedah kepada media. Itu tak betul," katanya.

Amizudin, yang juga pemimpin Angkatan Muda di negeri itu, memberitahu akhbar minggu lepas bahawa terdapat dua pemimpin parti itu menerima rasuah daripada sebuah syarikat kuari.

Zahrain berkata PKR akan mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa sahaja jika dakwaan berkenaan terbukti berasas.

Sebaliknya, kata beliau, anggota parti yang menabur fitnah juga boleh dikenakan tindakan sewajarnya.

-- BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.