BPA mahu Hishammuddin jawab

Tempoh masa lama untuk umum keputusan SPM, STPM perlu diperjelas

MELAKA: Biro Pengaduan Awam (BPA) akan meminta Kementerian Pelajaran memberi penjelasan berhubung isu tempoh masa yang agak lama terpaksa diambil setiap tahun sebelum dapat mengumumkan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator T Murugiah, berkata beliau akan menghantar surat berkaitan perkara itu secepat mungkin kepada Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein untuk mendapat penjelasan lengkap bagi membolehkan orang ramai memahaminya.

"Walaupun pada masa ini, kita mempunyai pelbagai kemudahan, kakitangan serta peralatan komunikasi yang serba moden, tapi tempoh masa diperlukan bagi mengumumkan keputusan peperiksaan itu masih tetap sama.

"Ini sudah tentu menimbulkan banyak tanda tanya kepada orang ramai. Sebab itu, kita berharap satu penjelasan lengkap akan dapat diberikan oleh menteri berkaitan," katanya selepas menghadiri Program Bersama BPA Melaka dan Negeri Sembilan di Jalan Hang Tuah dekat sini, semalam.

Murugiah berkata, selain kedua-dua peperiksaan itu, isu serupa membabitkan permohonan memasuki institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang dikendalikan Kementerian Pengajian Tinggi.

"Kebimbangan dibangkitkan orang ramai di sini bahawa tempoh masa yang agak lama itu bakal membuka laluan kepada anak mereka untuk terjebak dengan pelbagai aktiviti tidak sihat. Ini kerana selepas menunggu keputusan SPM atau STPM tiga bulan, mereka terpaksa pula menunggu keputusan memasuki IPTA," katanya.

Dalam pada itu, Murugiah yang juga Ketua Pemuda Parti Progresif Penduduk (PPP) berkata, kerajaan Pusat merancang membuka empat lagi pejabat cawangan baru BPA iaitu masing-masing di Kelantan, Perlis, Kedah dan Negeri Sembilan bagi menampung keperluan di semua negeri berkenaan.

1 comment

akira® said...

dah menjadi trend pemimpin UMNO, kalau bab duit cepat betul lepa nak urus tapi bab kepentingan rakyat lammmmbatttt....

Powered by Blogger.