Contohi kemuliaan sifat, keperibadian Rasulullah - Sultan Azlan Shah

IPOH 9 Mac — Umat Islam sewajarnya mencontohi kemuliaan sifat dan keperibadian Nabi Muhammad S.A.W yang diutuskan oleh Allah S.W.T untuk memberi rahmat ke seluruh alam sehingga membina satu tamadun yang agung, titah Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Sultan Perak bertitah Nabi Muhammad melaksanakan dan memenuhi amanah serta tanggungjawabnya menerusi akhlak yang terpuji yang bukan sahaja diperlihatkan di kalangan anggota keluarganya, sahabat dan pengikut malah ketika menghadapi kumpulan yang menentangnya.

“Baginda mencerminkan sifat-sifat sabar dan mulia, menggunakan kalam-kalam hikmah yang terpuji sepanjang masa. Baginda memohon doa kesejahteraan untuk ummahnya dan memohon Allah membuka pintu kesedaran dan keinsafan kepada kumpulan memusuhi baginda.

“Baginda tidak mencerca, tidak juga menghina insan lain meskipun mereka tidak bersetuju dengan baginda,” titah Sultan Azlan Shah ketika merasmikan sambutan Maulidur Rasul dan melancarkan program Bulan Dakwah peringkat negeri di sini hari ini.

Turut berangkat ialah Raja Permaisuri Perak Tuanku Bainun, Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah, Raja Dihilir Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa, Raja Puan Muda Perak Raja Normahani Raja Shahar Shah, Menteri Besar Datuk Dr Zambry Abdul Kadir dan isteri Datin Sharipah Zulkifli dan Mufti Perak Datuk Seri Harussani Zakaria. - Bernama

amin...

No comments

Powered by Blogger.