jangan mendabik dada wahai menteri ku!
KUALA LUMPUR: Malaysia berdepan dengan tempoh yang sukar berikutan kelembapan ekonomi dunia, tetapi masih belum lagi mengalami kemelesetan, kata Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, hari ini.
"Kita tidak mengalami kemelesetan. Kemelesetan ditakrifkan sebagai dua suku tahunan berturut-turut yang mengalami pertumbuhan negatif dalam keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebenar, tetapi kita tidak (mencatatkan pertumbuhan negatif).
"Tetapi, tentunya kita menghadapi masa yang mencabar," katanya ketika diminta mengulas mengenai keadaan ekonomi dalam negara.
Beliau berkata demikian selepas mengulung perbahasan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Negara mencatatkan pertumbuhan KDNK hanya 0.1 peratus pada suku keempat 2008 berbanding 4.7 peratus pada suku ketiga.
Bagi tahun berkenaan, pertumbuhan sederhana dicatatkan kepada 4.6 peratus daripada 6.3 peratus pada 2007.
"Kegawatan ekonomi yang dialami oleh negara-negara lain seperti Amerika Syarikat, Eropah dan Singapura yang mana banyak syarikat telah muflis dan ramai pekerja hilang pekerjaan menjadi satu cabaran kepada kita sebagai negara yang kecil dan bergantung kepada perdagangan," katanya.
Beliau berkata, kerajaan akan mengambil langkah proaktif untuk memulihkan ekonomi dalam negara dan memastikan rakyat khususnya pengganggur mendapat perhatian yang lebih menerusi strategi yang akan dibentangkan di dalam bajet mini negara tidak lama lagi.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak, dijangka membentangkan bajet mini di Parlimen pada 10 Mac ini.
Nor Mohamed berkata, antara perkara utama yang akan dibincangkan pada bajet mini akan datang ialah cara meningkat tahap keyakinan di kalangan orang ramai, terutama pelabur.
"Kita percaya dapat mengekalkan tahap keyakinan dalam ekonomi melalui strategi yang akan diambil dan menerusi kerjasama dengan sektor swasta," katanya.
Nor Mohamed, dalam penggulungannya, berkata pakej rangsangan ekonomi kedua dijangka tidak memberi kesan yang ketara terhadap inflasi.
Beliau berkata, inflasi negara akan terus reda pada 2009, disokong oleh penyederhanaan harga komoditi dan kempen pengurangan harga beberapa pasar raya besar dan pasar raya di negara ini.
Pada Januari lalu, indeks harga pengguna berkembang dengan perlahan pada kadar 3.9 peratus berbanding 4.4 peratus pada Disember 2008.
Sebanyak RM5 bilion daripada RM7 bilion pakej rangsangan ekonomi pertama sehingga kini sudah diagihkan kepada lebih 20 kementerian dan agensi yang terbabit dan sedang dalam peringkat pelaksanaan.
Sehingga kini, sebanyak 8,474 projek berjumlah RM567.9 juta sudah dilaksanakan. - Bernama
No comments
Post a Comment