Melayu mungkin pupus?
BANGI 10 Mac - Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah hari ini mengingatkan orang Melayu tentang kewujudan usaha radikal oleh pihak-pihak tertentu untuk mengubah resipi kekuatan bangsa Melayu.
Baginda bertitah, resipi yang mahu diubah itu terdiri daripada faktor-faktor agama, bahasa dan budaya di bawah naungan dan perlindungan raja-raja Melayu serta termaktub dalam Perlembagaan.
Baginda menegaskan, dalam konteks bangsa Melayu di negara ini, resipi kekuatan itu merujuk kepada elemen utama penyatuan dan kekuatan bangsa.
“Hari ini telah timbul usaha-usaha radikal daripada kalangan yang tidak mendalami muslihat di sebalik yang tersirat yang mahu mengubah resipi tersebut,” titah baginda.
Raja Nazrin bertitah demikian ketika melancarkan buku The Malays karya ahli akademik Australian National University, Prof. Anthony Milner di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini.
Raja Muda Perak bertitah, keterusan hidup atau survival Melayu sebagai satu bangsa bergantung beberapa faktor yang selama ini memberikannya identiti dalam bentuk agama, bahasa dan budaya.
Titah baginda, ia termasuk budaya bernegara dan berkerajaan yang berpegang kepada prinsip rakyat beraja dan negeri bersultan.
Baginda bertitah, betapa malangnya bangsa apabila berlakunya tindakan yang mahu menghapuskan tradisi dan meruntuhkan institusi Melayu.
“Betapa terancam survival bangsa apabila tradisi dan institusi tidak lagi dihormati dan disifatkan sebagai antitesis kepada pemikiran rasional, permodenan dan sains.
“Betapa malangnya apabila generasi yang cetek terhadap latar belakang sejarah mengaitkan tradisi sebagai amalan jahiliah, tahyul dan dogmatik,” titah baginda.
Raja Nazrin bertitah, dalam mengharungi gelombang globalisasi dan menghadapi dinamik politik yang sedang melanda, bangsa Melayu kini di persimpangan jalan dan menghadapi dua kemungkinan.
Titah baginda, kemungkinan pertama ialah bangsa Melayu akan terus bertahan, berkembang dan kuat serta dihormati dan diiktiraf sebagai rumpun bangsa yang agung di dunia global.
Kemungkinan kedua, titah baginda, ialah bangsa Melayu hanyut dalam gelombang globalisasi, menjadi lemah kerana akar budaya dan tradisinya telah dicabut malah pemikiran, gaya hidup dan nilai-nilai budaya bangsa makin disisihkan.
Sehingga akhirnya, baginda bertitah, Melayu itu akan pupus dan tinggal sebagai nama dan cerita yang terkandung dalam hikayat-hikayat lama.
Pada ketika itu, Raja Nazrin bertitah, tiada lagi minat untuk dilakukan kajian sosiopolitik dan sosioekonomi bangsa Melayu secara dinamik.
Baginda bertitah, kalau masih ada pun yang berminat mengkaji bangsa Melayu, ia mungkin terbatas kepada sejarah kejatuhan atau lebih tertumpu kepada aspek antropologi dan arkeologi bangsa Melayu yang hanya tinggal dalam sejarah.
“Untuk itu, perlulah bangsa mengambil renungan akan kisah kebodohan Pak Kadok, memiliki ayam sabung yang hebat lalu dipermainkan oleh pihak lawan.
“Akhirnya Pak Kadok menyerahkan ayam sabung kepada lawan, Pak Kadok sekadar bersorak menang sabung sedangkan kampungnya telah digadai,” titah baginda.
Oleh NOR ZAINAH NORDIN
zainah.din@utusan.com.my
Lagenda Ikan Tapah - Hikayat Pak Kadok
Cerita ini bermula dari mulut ke mulut dan dikumpulkan oleh Haji Pandak Logam Bin Pandak Demat salah saorang keturunan Pak Kaduk yang terlibat sepenuhnya menyimpan dan menjaga emas kerongsang Ikan Tapah, beliau dilahirkan pada tahun 1873 dan telah meninggal dunia pada tahun 1963 dalam usia 90 tahun
Bermula Kisah
Di zaman pemerintahan Sultan Muzafar Shah Ibni Al-Marhum Sultan Mansur Shah, permainan menyabung ayam amatlah disukai ramai, ianya menjadi satu temasya hiburan di samping menonton dan berjudi. Permainan ini melibatkan semua golongan daripada rakyat jelata, bangsawan sehinggalah Sultan.
Si Kaduk
Kebetulan pada zaman itu, seorang pemuda berketurunan raja daripada Negeri Siak, Sumatera yang bernama Kaduk memulakan pelayaran datang ke Negeri Perak untuk mencari tempat baru, akhirnya telah sampai ke satu tempat di tepi Sungai Perak bernama Lambor (Menurut cerita mulut Pandak Logam) di Kampung Pulau, Lambor Kiri, di sana Kaduk diterima baik oleh masyarakat kampung dan akhirnya dijodohkan dengan seorang gadis kampung dan menetap beberapa lama di sana (Kampung Pulau Lambor Kiri). Kaduk mempunyai kegemaran menangkap ikan, mencari rotan dan menyabung ayam. Adapun menyabung ayam adalah satu permainan yang amat digemarinya
Ayam
Pada suatu hari Kaduk ternampak seekor ular sedang menggonggong sebiji telur ayam dan meletakkannya di atas tanah berhampiran rumahnya, kemudian ular tersebut pun berundur dan menghilangkan diri. Kaduk pun mengambil telur tersebut dan dieramkan oleh ayamnya. Telur tersebut akhirnya menjadi seekor ayam sabung yang cantik dan handal dan dinamakan Biring Si Kunani. Ayam ini sentiasa menang dalam semua pertandingan sehinggakan semua penduduk termasuk pembesar Istana takut dan tidak mahu menyabung dengan ayam Kaduk. Kaduk menjadi resah kerana tidak menyabung dan akhirnya Kaduk menerima apa juga syarat yang dikenakan asalkan dia dapat menyabung ayam
Pertarungan Ayam
Berita kehebatan ayam sabungan Kaduk mendapat perhatian daripada Sultan, lalu baginda mencabar Kaduk untuk menyabung ayam dengan syarat yang ditetapkan oleh Sultan. Syarat-syaratnya ialah: Ayam Kaduk hendaklah ditukarkan dengan ayam Sultan yang bernama Si Jalak Putih Mata . Pertaruhannya adalah kampung halaman dan isi rumahnya
Dan di pihak Sultan pula:
Kaduk akan diberikan sebahagian kuasa memerintah dan kawasan negeri jika ayam Sultan kalah.
Tanpa berfikir panjang Kaduk menerima syarat-syarat tersebut kerana sudah lama tidak menyabung ayam.
Rumah Hjh Hasmah, Kg Tua
Kekalahan
Sebagaimana yang dijangkakan pada peringkat awal, ayam Kaduk yang ditukarkan dengan Sultan telah menang. Kaduk pun bersorak kerana ayamnya menang, tetapi dia lupa bahawa ayam itu telah menjadi milik Sultan. Setelah pengumuman dibuat baru lah Kaduk sedar bahawa dia telah dipermainkan oleh Sultan.
Maka dengan berpegang pada janji dan syarat penyabungan Kaduk terpaksa menyerahkan kampung halamannya, isteri dan anak perempuannya kepada Sultan, hanya yang tinggal pada Kaduk sehelai sepinggang dan seekor kucing kerana masa Sultan mengambil pertaruhan kucing tersebut tiada di rumah, kalau tidak semuanya akan menjadi milik Sultan.
Kaduk pun berundur ke sebuah pulau (Pulau adalah satu tempat di tepi tebing Sungai Perak dimana orang menanam padi Huma) bersama kucingnya dan tinggal di sebuah dangau. Sambil Kaduk memikirkan masa hadapannya kucing itu datang sambil mengiau-ngiau dan mengigit kaki kaduk seakan memberitahu sesuatu, puas juga dihalau kucing tersebut tetap juga begitu.
Kaduk pun mengikut kucing tersebut ke tepi tebing sungai, apa yang didapatinya ialah seekor ikan tapah yang besar, Kaduk pun berlari ke dangau dan mengambil mata tuai yang terselit di celah atap lalu dibelahnya perut ikan tapah tersebut dan keluarlah emas dengan banyaknya. Kaduk bersyukur dan beranggapan itu adalah rezeki daripada Tuhan
Sumpah
Maka Kaduk pun menjahit perut ikan Tapah tersebut dengan menggunakan jarum patah dan berbenangkan urat batang pisang lalu melepaskan ikan itu semula ke dalam sungai. Semasa inilah Kaduk melafazkan sumpahnya yang berbunyi:
“Mulai hari ini dan kehadapan, aku tidak menyabong lagi, dan aku, anak isteri aku, cucu-cicit aku, piyat-piyut aku, empas-empas endaun, entahkan ia entahkan bukan tidak boleh memakan, menganiaya atau mengkianati akan Ikan Tapah. Barang siapa melanggar sumpah ku, akan mendapat sakit gatal, melecur dan bengkak-bengkak, kiranya tahan badan tidak selamat hidupnya…”
Ikan Tapah itu terus menyelam dan timbul sekali seolah mengucap selamat tinggal dan kemudiannya hilang ke dalam air
Hajah Hasmah Binti Pandak Logam yang kini tinggal di Kampung Tua, Batu 16, Lambor Kanan
Tebus
Kaduk pun pergilah mengadap Sultan dan menebus kampung halamannya dan anak isterinya, dan bakinya sebahagian disimpan untuk menyara hidupnya dan sebahagian lagi dibawa ke Kampar untuk dijadikan barangan perhiasan, kerana di zaman itu tukang emas hanya berada di Kampar Sumatera sahaja.
Kepada anak cucu Kaduk, sebagaimana disebut dalam sumpahannya dan telah terkena penyakit yang disebutkan kerana memakan, mengkhianat secara sengaja atau tidak sengaja, terkena air-air dari Ikan Tapah maka ubatnya ialah dengan menyapu atau meminum air yang direndam Kerongsang Emas Tapah sebagai penawar bisa sumpahan tersebut. Adalah difahamkan bahawa ada keturunan Kaduk yang tidak boleh melintasi asap masakan isteri jika yang dimasak itu adalah ikan Tapah. Setelah segala nya selesai Kaduk tidak menyabung lagi dan hiduplah Kaduk dalam aman damai dan sentiasa mensyukuri rezeki yang diberikan Allah serta melakukan amal ibadah dengan taatnya sehingga berlaku perkara-perkara luar biasa
Diantaranya Sultan Perak melantik Kaduk menjadi Orang Besar Jajahan yang membawa gelaran Tok Tua Sakti yang mana tugasnya memberi nasihat dan tujuk ajar kepada Datok Bendahara Garang mengenai selok belok tempat di Aceh dalam usaha membawa pulang Puteri Limau Purut dari Istana Aceh sebagaimana dalam kisah Megat Terawis.
Pemegang Amanah Emas Kancing Ikan Tapah
Emas Kancing adalah satu-satunya saki baki emas Ikan Tapah yang masih ada, ianya berbentuk Empat Segi Iris Wajik digunakan sebagai Keronsang baju wanita. Jumlah yang ada sekarang ialah sebanyak tiga keping dan ini lah digunakan sebagai penawar kepada cucu atau keturunan Kaduk jika terkena bisa Ikan tapah.
Sekarang Emas Kerongsang Ikan Tapah di jaga oleh salah seorang keturunan Pak Kaduk yang bernama Hajah Hasmah Binti Pandak Logam.
Sumber : mizteryjw.blogspot.com
PERSOALAN:
1- Siapa tipu Pak Kaduk?
2- Mampukah melayu menyelamat melayu?
3- Apakah Rasulullah SAW dahulu menyelamatkan orang Arab dengan Ketuanan Arab atau dengan Islam?
4- Umno telah diberi mandat memerintah negara ini dengan begitu lama. Seandainya melayu pupus maka sah lah Umno yang bersalah memupuskannya. Rasionalkah Pakatan rakyat yang memerintah 10 bulan sudah mampu memupuskan bangsa Melayu?
5- Bermain dengan andaian, gajahpun boleh jadi kuman, ular lidipun boleh jadi naga. Kuman di seberang laut, nampak - gajah di hadapan mata - buta!!!.http://manjanik.wordpress.com/2009/03/12/hikayat-pak-kadok-dan-sultan-perak/
No comments
Post a Comment