Rafidah kecewa SMS fitnah berleluasa

KUANTAN: Ketua Wanita Umno, Tan Sri Rafidah Aziz, kecewa kerana khidmat pesanan ringkas (SMS) berbaur fitnah berleluasa menjelang pemilihan pergerakan itu Rabu ini.

Beliau berkata, SMS berkenaan mengandungi tuduhan berlakunya amalan politik wang yang mengaitkan beliau serta beberapa penyokongnya.

"Saya agak kecewa kerana dalam sehari dua ini telah berleluasa SMS bermacam fitnah terhadap orang tertentu dan saya rasa ini tidak harus berlaku.

"Saya sendiri terima pasal itu saya tahu, saya ada jadi sasaran, orang yang menyokong saya, orang tertentu memang dipilih untuk dicemar nama baik mereka," katanya kepada pemberita selepas majlis ramah mesra dan pengenalan calon Wanita Umno dengan Perwakilan Wanita Pahang di sini, hari ini.

Rafidah berkata, penyebaran SMS berkenaan perlu dihentikan segera kerana ia akan mengguris hati mereka yang dituduh dan boleh menjejaskan keharmonian dalam pergerakan itu.

"Kalau pertandingan buatlah elok-elok, menang kalah itu perkara biasa dan kalau buat fitnah, hati terguris susah nak berbaik-baik semula.

"Bukan saya menuduh siapa-siapa, saya tidak tahu siapa (menghantar SMS), mungkin orang luar, mungkin pembangkang mengambil kesempatan menangguk di air keruh tetapi saya harap ini tidak berterusan kerana buruk imej parti kalau ada orang tertentu dalam parti yang memfitnah," katanya.

Ditanya sama ada beliau akan membuat laporan polis, Rafidah berkata: "Tidak kuasalah saya kerana kita dah jangka ini akan berlaku."

Mengenai politik wang menjelang pemilihan Umno ini, Rafidah berkata gejala itu perlu dibendung sebelum ia menjadi satu budaya dalam parti.

Katanya, politik wang akan hanya mewujudkan pemimpin dan pembuat keputusan yang mementingkan duit sementara mereka yang benar-benar ingin berkhidmat akan terpinggir. - Bernama

kahkahkah...syok bila kita dapat fitnah orang..tapi bila kena kat batang hidung sendiri baru boleh rasa macam mana..orang dah tak suka kat makcik pidah....kesian....

No comments

Powered by Blogger.