Selamatkan Umno Untuk Siapa?


SATU - Samy Vellu kata calon BN Bukit Selambau boleh bawa pembangunan kerana selari dengan kerajaan pusat.

Samy Vellu nampaknya masih pakai modal lama. Mungkin dia lupa BN kalah dalam PRU dan PRK terbaru dalam keadaan isu pembangunan dicanang habis-habisan. Adakah pembangunan versi Samy Vellu itu ialah buat jalan, lebarkan parit, perdalamkan longkang dan masukkan mini tar di kampong.

Rakyat sudah jelak dengan janji-janji pembangunan. Kini rakyat lebih prihatin dengan persoalan yang lebih penting daripada sekadar itu. Mungkin ada rakyat yang marah dengan persoalan prasarana, tetapi ada isu lain yang lebih melekat di hati dan fikiran rakyat.

Isu itu ialah kedaulatan undang-undang, kebebasan bersuara, ISA, kewibawaam mahkamah, ketelusan pengurusan dan kepemimpinan yang bersih. Kalau yang bawa pembangunan itu ialah pemimpin BN yang rasuah, rasa-rasanya rakyat menerimanya tetapi diiringi dengan cebikan mulut sahaja.

Kita harap Samy turun berkempen di Bukit Selambau dan canangkan isu itu. Mudah-mudahan BN kalah di sana.

DUA - Semenjak sekian lama rakyat didodoikan dengan lagu 'lawan Umno, lawan kerajaan. Sokong Umno, sokong kerajaan'. Umno sahaja yang layak jadi kerajaan, parti lain semuanya tidak berkeupayaan.

Namun khurafat itu terhakis sedikit demi sedikit apabila BN tewas teruk di Kelantan pada tahun 1990. Hari ini lagu itu menjadi lagu basi dan rakyat sudah tidak tertarik lagi bila didendangkan.

Muhammad Muhamad Taib menyarankan supaya perwakilan Umno memilih pemimpin yang mampu menyelamatkan Umno. Mengapa perlu diselamatkan Umno? Adakah itu bermaksud kapal Umno sudah bocor teruk dan menunggu masa untuk karam sahaja? Adakah menyelamatkan Umno bermakna menyelamatkan kerajaan? Muhammad nak hidupkan balik khurafat yang sudah berkubur itu?

Persoalan penting, adakah bila Umno selamat negara ini akan selamat? Belum tentu Umno selamat, rakyat dan negara selamat.

Lupakah kita bahawa negara kita lingkup semasa Umno kuat? Bilakah tulisan jawi berkubur, Bahasa Melayu jahanam, biasiswa dihapuskan, mahkamah dikongkong, mulut rakyat digam? Semasa Umno kuat atau lemah?

Bila Umno kalah teruk dan lemah selepas 1999 barulah rakyat boleh bernafas sedikit. Semasa Umno lemahlah rakyat boleh menikmati apa yang mereka nikmati hari ini.

Orang seperti Muhammad yang diperli oleh Tun Dr M sebagai tak tahu Bahasa Inggeris dan beliau menolaknya sebagai Timbalan Presiden Umno, Khir Toyo yang laporan rasuahnya bertimbun, Najib yang diganggu mimpi wanita Mongolia, Khairi yang dengan isu ECM-Libra dan siapa-siapa lagi, itukah senarai yang diharap oleh Muhammad untuk menyelamatkan dan memperkukuhkan Umno? Dengan harapan bila Umno selamat dan kukuh maka negara selamat dan kukuh juga?

Ya, 4885 perwakilan Umno mampu memilih pemimpin untuk menyelamatkan Umno bahkan mengukuhkan Umno, tetapi pemimpin yang terpilih itu menyelamatkan Umno untuk apa dan siapa?

Ulang, mereka memohon supaya diselamatkan Umno untuk apa dan untuk siapa?

Untuk rakyat atau untuk perut mereka?

http://bongkarsauh.blogspot.com/

No comments

Powered by Blogger.