Sultan Kelantan mahu umat Islam tangani perpecahan segera





KOTA BHARU: Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra ibni Almarhum Sultan Yahya Petra melahirkan rasa dukacita berhubung perpecahan di kalangan umat Islam ketika ini yang menurut baginda memerlukan satu kaedah untuk ditangani dengan segera.

Titah baginda, akhir-akhir ini umat Islam berdepan dengan pelbagai cabaran, ujian dan percubaan, termasuk isu-isu politik, ekonomi, sosial dan keruntuhan akhlak terutama di kalangan remaja.


"Perpecahan yang sangat ketara di kalangan umat Islam adalah cukup cemas dan mendukacitakan. Beta merasakan situasi sebegini adalah detik pahit yang memerlukan penyelesaian segera umat Islam yang berfikiran matang, insaf dan sedar," titah baginda ketika merasmikan pelancaran sambutan bulan dakwah peringkat negeri Kelantan di Balai Islam, di sini, malam tadi.

Turut berangkat di majlis pelancaran bulan dakwah bertemakan "Wahdah Pemangkin Khaira Ummah” itu ialah Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Sehubungan itu, baginda mahu bulan dakwah yang dirangka dan dilaksanakan ini perlu menekankan agenda perpaduan supaya permasalahan ini tidak terus menjadi 'putaran ganas dan membara dalam masyarakat'.

No comments

Powered by Blogger.