Teresa Menderma Pembesar Suara Kepada Surau Darus Salam di Puchong

Kenyataan Akhbar 08 Mac 2009

(8 Mac 09, Puchong) Pada hari sabtu ulangtahun kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor, YB Teresa Kok, exco kanan Selangor merangkap ADUN Kinrara membuat kunjungan ke Surau Darus Salam di Batu 13 Puchong dan memberi sumbangan sebanyak RM10,000 kepada surau berkenaan untuk membeli pembesar suara laungan azan.

Selain itu, beliau juga memberi sumbangan RM2,500 kepada PASTI (Pusat Asuhan Tunas Islam) dan RM2,500 kepada Sekolah Rendah Islam (Seri) Nurul Hidayah di Puchong.

1) Teresa memberi sumbangan sebanyak RM10,000 kepada Surau Darus Salam, dan diterima oleh Imam Haji Harun (di sebelah Teresa) dan pihak pengurusan surau

2) Teresa memberi sumbangan RM2,500 kepada Abdul Hadi Bin Sabrain, wakil daripada PASTI (Pusat Asuhan Tunas Islam). Imam Harun berdiri di sebelah Abdul Hadi bin Sabrain.

3) Teresa memberi sumbangan RM2,500 kepada Ustaz Mohd Faizul Azmi bin Mat Daut, wakil Sekolah Rendah Islam (Seri) Nurul Hidayah. Imam Harun berada di sebelah Ustaz Mohd Faizul
Teresa berkata pada asalnya beliau ingin memberi sumbangan ini pada Hari Maulidur Rasul pada hari keesokannya, tetapi beliau terpaksa memberi sumbangan sehari sebelum itu kerana beliau ingin menghadiri perayaan sambutan Maulidur Rasul bersama dengan Sultan Selangor anjuran Kerajaan Negeri Selangor pada hari keesokannya.

Dalam ucapan Teresa, beliau menceritakan tuduhan palsu yang mengatakan beliau membawa penduduk di Bandar Kinrara membantah laungan azan pada tahun lepas sehingga beliau ditahan di bawah ISA selama tujuh hari. Beliau menegaskan sekali lagi bahawa beliau langsung tidak terlibat dalam petisyen ini dan ini telah pun dijelaskan oleh imam di masjid berkenaan setelah beliau dimasukkan di bawah ISA.

Beliau juga turut menjelaskan tuduhan palsu yang menyatakan beliau telah masuk ke dalam masjid dengan memakai skirt. Beliau berkata isu itu berlaku pada malam selepas beliau dibebaskan daripada tahanan ISA. Beliau tidak pernah masuk ke bangunan masjid tetapi hanya berada di perkarangan Masjid Nurrusaadah di Cheras Baru bersama dengan Mohamed Sabu untuk berterima kasih kepada para umat Islam yang mengadakan sembahyang Tarawih bagi tahanan ISA termasuk beliau.

Teresa berterima kasih kepada semua umat Islam yang telah berdoa bagi beliau dan juga tahanan ISA yang lain. Beliau berkata penahanannya sebaliknya telah membuka mata orang ramai bahawa ISA boleh disalahgunakan oleh pihak berkuasa dan menyebabkan lebih orang membantah penggunaan ISA.

Teresa juga berkata dalam ucapannya bahawa kerajaan Pakatan Rakyat Selangor memang telah cuba sedaya upaya untuk cuba berkongsikan sumber-sumber di Selangor bersama dengan rakyat Selangor di bawah tema “Merakyatkan Ekonomi Selangor”. Itu sebabnya kerajaan Pakatan telahpun mengadakan program Mesra Usia Mas, TAWAS, air percuma 20 meter padu, Hadiah Anak Masuk Universiti dan sebagainya, yang mana telah banyak dinikmati oleh warga di Selangor.

No comments

Powered by Blogger.